Ceramah ‘Leading with Passion and Purpose’ jadi tumpuan di program Kembara Karisma Zon Timur Pemimpin Muda MADABI 2026
PEKAN, 27 Ogos 2026 – Semangat kepimpinan berteraskan nilai dan tujuan menjadi fokus utama Program Kembara Karisma Zon Timur Pemimpin Muda MADANI 2026 yang berlangsung hari ini di Dewan Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan.
Program berprestij itu bakal dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dengan menghimpunkan pemimpin-pemimpin muda Zon Timur bagi memperkukuh jati diri, daya kepimpinan dan semangat Malaysia MADANI.
Antara pengisian utama program ialah ceramah bertajuk ‘Leading with Passion and Purpose’ yang disampaikan oleh Dr. Nurul Hidayah Mat dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ceramah itu mengupas bagaimana seorang pemimpin perlu mempunyai semangat yang tinggi dan tujuan yang jelas dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.
Dr. Nurul Hidayah menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan atau mempunyai kuasa, sebaliknya merupakan amanah untuk memberi inspirasi, membimbing dan membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Malah, beliau turut mengajak peserta melihat kepimpinan sebagai satu bentuk tanggungjawab yang lahir daripada keikhlasan hati.
“Passion merupakan pemangkin utama yang mendorong seseorang terus berusaha walaupun berdepan cabaran.
“Semangat yang lahir daripada minat dan nilai diri mampu menjadikan seorang pemimpin lebih tabah, kreatif dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pantas,” ujarnya.
Beliau turut menghuraikan bahawa purpose atau tujuan hidup menjadi kompas kepada seorang pemimpin.
“Apabila seseorang memahami matlamat yang ingin dicapai, setiap keputusan akan lebih berfokus, beretika dan memberi impak yang bermakna kepada organisasi serta komuniti,” katanya.
Dalam sesi yang berlangsung penuh interaktif itu, peserta turut didorong untuk membina keyakinan diri melalui pembelajaran berterusan, komunikasi yang berkesan dan kesediaan menerima pandangan berbeza.
Nilai empati dan kerjasama turut diketengahkan sebagai ciri penting pemimpin muda masa hadapan.
Dr. Nurul Hidayah turut mengingatkan bahawa kegagalan bukanlah penamat, tetapi peluang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti kepimpinan.
Beliau juga menyeru peserta agar berani mencuba, belajar daripada pengalaman dan terus menyumbang kepada pembangunan negara dengan penuh integriti.
Ceramah tersebut mendapat sambutan yang amat positif daripada peserta apabila berjaya menyuntik motivasi dan memberikan perspektif baharu tentang kepimpinan yang berteraskan semangat, tujuan serta nilai-nilai kemanusiaan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program Kembara Karisma Zon Timur Pemimpin Muda MADANI 2026 dilihat sebagai platform penting Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan generasi pemimpin muda yang berkarisma, berilmu dan bersedia menerajui masa depan negara.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
- 8 views
Reports by: