“Ibu dan ayah” buat mahasiswa di Kolej Kediaman
Kuantan, 24 Mac- Selain pengorbanan petugas kesihatan dan keselamatan yang bertugas di barisan hadapan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tatkala negara memerangi penularan wabak Covid-19, peranan pengetua dan felo Kolej Kediaman juga penting dalam memastikan keselamatan dan kesihatan warga kampus di tahap terbaik.
Bagi Pengetua Kolej Kediaman 3, Rosjuliana Hidayu Rosli menganggap tugasnya adalah amanah yang dipertanggungjawabkan agar sentiasa memastikan mahasiswa dapat menjalani kehidupan di dalam kampus ketika perintah kawalan pergerakan yang sedang dilaksanakan dengan keadaan baik dan terkawal.
“Sepanjang PKP ini, para pengetua kolej kediaman perlu sentiasa mengemaskini maklumat untuk disampaikan buat pelajar dalam memastikan semua arahan dipatuhi termasuklah yang penting pada masa ini, iaitu set kebersihan diri sebagai keperluan kepada mahasiswa,” katanya.
Selain itu juga penyediaan makanan akan dipastikan bersih dan mendapat bekalan makanan yang mencukupi. Agihan makanan sentiasa dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan dan pengagihan makanan diselaraskan di kolej kediaman masing-masing bagi mengurangkan pergerakan mahasiswa.
Pada masa yang sama pengurusan universiti turut menyediakan peruntukan kecemasan bagi membantu membekalkan kit keperluan kepada pelajar yang memerlukan. Mulai dari hari pertama tempoh kawalan pergerakan, pengetua dan felo telah bersiap sedia menggalas tanggungjawab dalam memastikan mahasiswa tenang dan mengikuti prosedur yang ditetapkan.
Pihaknya juga menggunakan media sosial dan aplikasi mesej segera seperti WhatsApp sebagai medium komunikasi bersama mahasiswa dan segala informasi dikongsikan di situ. Ini termasuklah mereka dari negeri Sabah yang menginap di luar kampus dan tinggal keseorangan turut dibantu agar mereka boleh tinggal di dalam kampus.
“Saya menganggap mereka ini seperti puteri-puteri saya kerana mereka merupakan amanah ayah dan ibu mereka. Setiap malam rondaan akan dibuat di kolej kediaman demi memastikan keselamatan mereka. Saya dapat lihat mereka yang berada di kolej boleh senyum, redha dan sabra dalam situasi ini,” ujarnya. Beliau bersyukur mempunyai pasukan felo dan pembantu felo yang mempunyai sinergi yang baik dalam pembahagian tugas dan pelaksanaan tugas dengan itu masa bersama keluarga dan kerjaya dapat dibahagikan dengan baik.
Manakala bagi Pengetua Kolej Kediaman 4, Nasrul Salim Pakheri pula berkata, hampir 80 pelajar lelaki yang tinggal di KK4 dengan keadaan yang tenang. Ujarnya, setiap hari dilaksanakan saringan kesihatan dengan memeriksa suhu badan kepada semua pelajar semasa mengambil makanan. Ujarnya, langkah ini bagi membendung penularan wabak dan memastikan kesihatan pelajar setiap hari. Selain mahasiswa di dalam kampus, pihaknya juga akan mengambil perhatian terhadap kebajikan mereka yang tinggal di luar kampus terutamanya dalam memastikan penyediaan makanan kepada mereka.
“Mahasiswa tidak perlu risau dengan keperluan harian mereka kerana di dalam kampus terdapat kedai untuk mereka mendapatkan keperluan harian mengikut masa operasi yang ditetapkan. Namun sekiranya keperluan tersebut tiada atau kehabisan di kedai tersebut, pengetua atau felo akan membantu untuk membelikan keperluan sekiranya mendesak,” katanya. Beliau juga kerap menasihati mahasiswa agar cakna terhadap kesihatan dan kebersihan diri selain menggunakan masa yang ada ini dengan mengulang kaji pelajaran dan menggunakan masa dengan membuat perkara yang berfaedah.
Pada masa ini terdapat seramai 1005 mahasiswa menerima bantuan makanan percuma yang diagihkan dan ini termasuklah manfaat keperluan sampingan di UMP Campus Pantry sepanjang tempoh PKP yang berlanjutan sehingga 14 April depan. Mahasiswa juga boleh mendapatkan khidmat bimbingan kaunseling secara atas talian atau menghubungi kaunselor yang dipilih menggunakan perkhidmatane - Kaunseling UMP dalam E-Community.
Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor.
- 427 views