Skip to main content

ICSECS dan ICoCSIM bincang usaha memperkasa masyarakat digital dengan teknologi termaju

PEKAN, 22 September 2021 - Berdepan dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan kepesatan perkembangan teknologi disruptif termasuklah teknologi digital dilihat berpotensi merubah landskap ekonomi dan sosial di seluruh dunia. 

Perubahan ini turut  dipacu oleh situasi semasa dunia pada masa ini dengan kemunculan Pandemik COVID-19 yang dilihat telah mempercepat gelombang perubahan dalam mengadaptasikan pendigitalan dalam urusan kehidupan seharian.

Ini menyaksikan berjuta rakyat Malaysia menggunakan kaedah maya bagi keperluan e-dagang, hiburan dan juga pendidikan. 

Penyampaian pendidikan yang berkualiti kini bergantung kepada ketersambungan jalur lebar di kediaman pelajar, akses kepada komputer riba atau komputer. 

Malahan, penggunaan teknologi baharu khususnya teknologi digital turut memastikan pembangunan masyarakat secara menyeluruh. 

Dalam membincangkan usaha memperkasakan masyarakat digital dengan teknologi termaju ini sebanyak 126 kertas kerja telah dibentang dan bakal diterbitkan di pangkalan data IEEE Xplore bersempena Persidangan Antarabangsa 7th International Conference on Software Engineering & Computer Systems (ICSECS 2021) dan 4th International Conference of Computational Science and Information Management  (ICoCSIM 2021).

Persidangan itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman. Hadir sama Naib Canselor UMP keempat, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusof, Dekan Kanan Kolej Komputeran dan Sains Gunaan, Profesor Ts. Dr. Ruzaini Abdullah Arshah dan Dekan Fakulti Komputeran (FK), Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin baru-baru ini. 

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, persidangan ini adalah sebagai forum komuniti penyelidikan antarabangsa, ahli akademik, saintis, pelajar, pengamal dan vendor mengenai semua aspek Kejuruteraan Perisian, Penyelidikan Sistem Komputer, Sains Komputer dan Pengurusan Maklumat.

“Kesan Covid-19 terhadap masyarakat digital memerlukan akses yang pantas dan ketersediaan terhadap perkhidmatan digital. 

“Malahan melibatkan banyak aktivi harian dalam bekerja, membeli-belah dan berinteraksi.

“Bagi meningkatkan kesediaan negara dalam menguasai ekonomi digital, kerajaan telah menyediakan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat, perniagaan dan kerajaan,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, dalam memanfaatkan teknologi, data dan kecerdasan digital, ia berupaya meningkatkan  kemahiran digital serta meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian dalam pelbagai sektor. 

Bertemakan ‘Advancing Digital Society with Advanced Technology’ program anjuran FK Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu mendapat sambutan menggalakkan apabila mendapat kerjasama daripada 14 buah  universiti luar negara.  

Penyertaan tersebut melibatkan para akademia, pelajar dan penyelidik daripada Bina Nusantara University (Indonesia), Jazan University (Arab Saudi), Hadhramout University (Yemen), Muscat College (Oman), Sathyabama Institute of Science & Technology (India), dan State Islamic University Sunan Kalijaga Yogyakarta (Indonesia). 

Lain-lain adalah Telkom University (Indonesia), United International University (Bangladesh),  University of Santo Tomas (Filipina), Universitas Mataram, Lombok (Indonesia), AMIK Tunas Bangsa, Pematangsiantar (Indonesia), Universitas Sumatera Utara (Indonesia),  Universitas Bumigora (Indonesia) dan Politeknik Negeri Medan (Indonesia).

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri