Inspire@Projek Pintar melabuhkan tirainya dengan membentuk semangat motivasi murid yang tinggi
PEKAN, 25 September 2023 - Seramai 35 orang fasilitator daripada kalangan mahasiswa dan Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan Program Inspire@Projek Pintar bagi menyemai sikap motivasi dalam diri murid-murid yang terpilih di sepuluh buah sekolah sekitar daerah Pekan.
Program tiga hari itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed.
Program itu bertujuan untuk membentuk murid-murid agar lebih bermotivasi, mempunyai jati diri yang lebih kukuh, bersemangat dalam pembelajaran, mengasah kemahiran berkomunikasi dan berani menyahut segala aktiviti yang dijalankan.
Dalam program itu juga, para murid diberi peluang untuk merasai suasana hidup sebagai seorang mahasiswa universiti dengan bermalam di Kolej Kediaman Mawaddah.
Sepanjang program tersebut, para murid didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan modul seperti TRX City, Bob the Builder, inovasi dan malam kebudayaan dan sebagainya dalam usaha mendidik mereka supaya berfikiran lebih kreatif, semangat berkumpulan, nilai kepimpinan serta sifat berani untuk tampil ke hadapan dan sikap bertanggungjawab.
Menurut salah seorang peserta, Muhammad Zunul Zarrieff Abdullah dari Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar program ini dapat membantunya dalam kemahiran berkomunikasi, sifat keterbukaan, berani memberi pandangan, berkenalan dengan rakan yang berlainan sekolah serta berjaya memberikan mereka pengalaman hidup sebagai seorang mahasiswa universiti.
Program ini sedikit sebanyak membantu para murid bukan sahaja dalam melatih dan menyemai sifat kepimpinan, berfikiran lebih jauh serta sikap bertanggungjawab malah melalui program ini, mereka akan terinspirasi untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pelajaran.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Tuan Hj Mohd Razali Mustafar, Eksekutif Jabatan Program Yayasan Bank Rakyat, Muhammad Nur Iman Hairusalleh, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA, Haryani Abdullah, Pengurus Projek Pintar, Noreen Sharina Atirah Aziz dan tiga orang wakil Pegawai Pendidikan Daerah, serta seramai sepuluh orang Guru Besar.
Yayasan UMP turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat, Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Resam Pahang (MUIP) dan UMP Advanced yang juga merupakan rakan kerjasama dalam pelaksanaan program ini.
Disediakan oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Yayasan UMP
- 112 views