Kaneka Malaysia raikan ulang tahun ke-30, sumbang RM1 Juta kepada UMPSA
KUANTAN, 29 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima sumbangan dana berjumlah RM1 juta daripada Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-30 syarikat itu yang berlangsung di Gebeng, Kuantan hari ini.
Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan bercemar duli berangkat merasmikan sambutan berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan Kaneka kepada pembangunan sektor perindustrian di negeri Pahang sepanjang tiga dekad lalu.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Shikata Noriyuki, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Presiden Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd., Mr. Tomoyuki Kashimura, dan Pengerusi Kaneka Corporation, Mr. Kimikazu Sugawara.

Turut hadir mewakili UMPSA ialah Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim.
Dalam majlis tersebut, Paduka Baginda berkenan menyaksikan penyampaian cek cura bernilai RM1 juta daripada Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. kepada UMPSA sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan negara.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, sumbangan dana endowmen itu merupakan manifestasi komitmen tinggi sektor industri dalam memperkasakan pendidikan tinggi serta pembangunan penyelidikan dan inovasi negara.
“UMPSA amat menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan oleh Kaneka Malaysia.
“Sumbangan ini bukan sahaja akan memperkukuh usaha universiti dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat, malah menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelesaian teknologi yang mampu memberi manfaat kepada industri, masyarakat dan negara.
“Hubungan strategik yang terjalin sekian lama antara UMPSA dan Kaneka Malaysia membuktikan bahawa kerjasama erat universiti-industri mampu melahirkan ekosistem inovasi yang mampan, mempercepat pemindahan teknologi serta menyediakan graduan yang kompeten dan bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif baharu yang memberi nilai tambah kepada agenda penyelidikan, pembangunan teknologi, kelestarian dan pembangunan modal insan.
Sementara itu, Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim berkata, kerjasama erat antara UMPSA dan Kaneka Malaysia membuka lebih banyak peluang untuk memperkasa penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas penerokaan teknologi baharu yang dapat dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat.
“Jalinan strategik seperti ini memberi ruang kepada penyelidik universiti dan pihak industri untuk bekerjasama dalam menghasilkan penyelesaian yang lebih inovatif, berdaya saing dan memenuhi keperluan semasa industri,” ujarnya.
Pada majlis sama, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. yang menandakan pencapaian syarikat itu sepanjang 30 tahun beroperasi di Malaysia.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj khas yang memaparkan perjalanan dan pencapaian Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. sepanjang tiga dekad beroperasi di negeri Pahang sebelum Paduka Baginda berkenan menghadiri santapan diraja.
Selain itu, Paduka Baginda turut berkenan melawat reruai pameran yang memaparkan produk, teknologi dan pencapaian syarikat sebelum meneruskan lawatan ke bilik kawalan (Control Room) kilang Kaneka bagi melihat dengan lebih dekat operasi serta sistem pemantauan pengeluaran syarikat berkenaan.
Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat kepada Kaneka Corporation, sebuah syarikat berpangkalan di Jepun yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahan kimia, bahan berprestasi tinggi serta produk penjagaan kesihatan dan pemakanan.
Sambutan ulang tahun ke-30 ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan dan pertumbuhan Kaneka Malaysia sebagai antara pemain utama industri di negeri Pahang, malah membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan tinggi, penyelidikan dan modal insan menerusi kerjasama strategik bersama UMPSA.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 66 views
Reports by: