Skip to main content

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang lancar Persatuan Pandu Puteri Klover UMPSA

GAMBANG, 23 Februari 2025 - Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang juga merupakan Yang di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang berkenan bercemar duli bagi melancarkan Persatuan Pandu Puteri Klover UMPSA bersempena Sambutan Hari Peringatan Sedunia (WTD) Peringkat Kebangsaan. 

Baginda berangkat merasmikan Hari Peringatan Sedunia Peringkat (WTD) Kebangsaan 2025 di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang. 

Baginda yang juga Yang di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang bertitah, budaya sopan dan penghormatan terhadap adat perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang lancar Persatuan Pandu Puteri Klover UMPSA

"Di dalam Pandu Puteri, kita bukan sahaja diajar bagaimana untuk memimpin, tetapi juga tentang adab, adat resam dan nilai-nilai murni. 

"Budaya kita penuh dengan adab dan adat yang perlu dipelihara," titah baginda. 

Hadir sama Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Dato' Yeoh Soo Keng dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam majlis pada hari ini yang menyaksikan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang diberikan mandat untuk menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Peringatan Sedunia ( WTD) Peringkat Kebangsaan. 

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang lancar Persatuan Pandu Puteri Klover UMPSA

"Tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pelaksana dan Lembaga Eksekutif PPPM Cawangan Pahang yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan menyambut kontinjen dari pelbagai cawangan di seluruh Malaysia. 

"Terima kasih kepada Pandu Puteri Malaysia atas peluang yang diberikan," titah baginda. 

Penubuhan Pandu Puteri di UMPSA ini dapat meningkatkan bakat kepimpinan, mengasah kemahiran memimpin untuk mengendalikan pasukan dan memperkaya pengetahuan termasuklah berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dan Science, Technology, Engineering & Mathematics (STEM), termasuklah program advokasi berkaitan wanita. 

Selain itu, ia juga dapat menjadi menjadi platform untuk pemimpin wanita bekerja berkongsi pandangan dan saling menginspirasi, persatuan ini turut menekankan nilai positif, semangat yang tinggi di samping yang mendorong setiap ahlinya menghormati perkembangan dan pencapaian masing-masing sepanjang hayat mereka.

Seramai 1,500 pelajar dari 16 kontinjen Pandu Puteri seluruh Malaysia terlibat dalam program yang telah berlangsung selama dua hari itu. 

Pelbagai pertandingan telah dijalankan antaranya Pixel Code, Junk Jam dan GG Aerobic. 

Pertandingan yang agak mencabar ini dapat membentuk kecekalan dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia bersesuaian dengan tema Hari Peringatan Sedunia kali ini iaitu  ‘Our Story‘.

Selain itu juga, terdapat aktiviti-aktiviti santai lain yang turut dianjurkan seperti catur, congkak dan dam ular untuk anak-anak Pandu Puteri sertai, gerai-gerai jualan makanan dan minuman ‘viral’ serta reruai pameran. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad