Skip to main content

Kekal momentum positif mendepani norma baharu pengajian

PEKAN, 1 Disember 2021 - Pelaksanaan pengajian secara dalam hibrid (bersemuka dan dalam talian) sejak 15 Oktober lalu mengikut keperluan program berjalan lancar dan menjadi norma baharu baharu buat mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Kini mahasiswa sibuk menyelesaikan tugasan makmal, kuiz dan projek akhir mengikut keperluan pengajian masing-masing. 

Walaupun melalui situasi pembelajaran baharu dan kelainan daripada kebiasaan, pembelajaran jarak jauh secara dalam talian (ODL) yang dijalankan UMP berjalan mengikut jadual pengkuliahan. 

Ia turut mendapat maklum balas positif daripada mahasiswa yang berada di kampus.

Bagi mahasiswa tahun 4, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Kolej Kejuruteraan UMP, Amir Zuhaili Abdul Karim berkata, sebagai mahasiswa pastinya seronok dapat kembali ke kampus. 

“Namun, saya terpaksa menempuh satu pengalaman yang baharu dan masih rindukan suasana yang lama, melakukan aktiviti bersama-sama serta bebas melakukannya tanpa ada sekatan di kampus.

“Dalam situasi pandemik ini, kita perlu sesuaikan dengan norma baharu dan peraturan dalam kampus demi keselamatan dan kesejahteraan semua. 

“Walaupun masih berada di residen pelajar ketika ini tetapi kaedah pengajian secara dalam talian turut berlangsung,” katanya.

Malahan katanya, kebanyakan mahasiswa selesa belajar di residen ini berbanding kalau berada di kampung kerana berdepan dengan suasana yang kurang kondusif termasuk gangguan lain. 

“Saya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian di residen dengan suasana yang tenang dan mendamaikan,” katanya yang memilih untuk kembali ke kampus atas tuntutan pengajian. 

Di samping itu beliau turut memikirkan tanggungjawabnya sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi membantu mahasiswa terutama dari segi kebajikan di kampus. 

Tambahnya, Alhamdulillah keselamatan di dalam kampus berada dalam keadaan yang baik namun masih terdapat juga mahasiswa yang culas dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Malahan pelbagai langkah pencegahan dilaksanakan pihak universiti untuk memastikan keselamatan warga kampus bagi mengelakkan berlakunya penularan agar tidak merebak atau tidak berlaku secara lebih serius. 

“Selain itu juga, saya bersama rakan-rakan mahasiswa lain turut sama turun padang membantu sebagai sukarelawan untuk mengurus kebajikan mahasiswa terutamanya dalam menyampaikan sumbangan makanan dan barang-barang keperluan kepada mahasiswa yang berada dalam tempoh pengasingan atau dikuarantin di dalam kampus.  

Begitu juga dengan Ahmad Nasri Mohd Yusaini daripada Pusat Sains Matematik (PSM), beliau sejujurnya agak terkejut dan agak kekok pada awalnya dengan pengamalan norma baharu di kampus.

“Saya kembali ke kampus atas keperluan pengajian yang memerlukan untuk berada di universiti,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman yang pernah  menjalani kuarantin sebagai kontak rapat (CC1) di Blok B4 UMP dan semua pihak menjaga kebajikannya dan rakan-rakan dengan baik.

Ujarnya, pihak keselamatan dan kebajikan pelajar menangani perkara ini dengan baik di sepanjang tempoh tersebut. 

“Penerangan secara lebih jelas tentang pengamalan SOP kepada mahasiswa pastinya dapat meningkatkan kefahaman mahasiswa mengenai norma baharu dan peraturan di kampus,” katanya.   

Bagi Muhammad Aqil Hafizzan Nordin, mahasiswa Kolej Kejuruteraan yang kini berada di tahun keempat pengajian berkata, sebagai mahasiswa mendepani norma baharu ini terdapat sedikit kesukaran buatnya yang berada di tahun akhir pengajian.

“Tuntutan pengajian saya di tahun akhir memerlukan tugasan di makmal untuk projek tahun akhir dan kekerapan berjumpa dengan penyelia. 

“Ia pastinya memerlukan saya mengikuti segala peraturan di makmal seperti yang ditetapkan pihak universiti.

“Tidak dapat dinafikan masih terdapat mahasiswa yang positif Covid-19 namun telah diasingkan memandangkan terdapat kemudahan blok untuk kuarantin bagi mahasiswa yang bergejala atau kontak rapat,” katanya. 

Beliau yang mempunyai pengalaman dikuarantin turut mengucapkan terima kasih buat semua petugas dan sukarelawan yang banyak membantu terutamanya sumbangan makanan yang diterima lebih daripada mencukupi.

Dalam pada itu, UMP telah menamatkan Kawalan Diperketatkan dan Larangan Keluar Masuk (KDLKMP) di UMP Gambang yang berkuat kuasa pada 13 November 2021 serta berakhir pada 26 November 2021 (11.59 malam) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP mengucapkan terima kasih atas kerjasama mahasiswa dan komitmen semua pihak sepanjang tempoh pelaksanaan KDLKMP tersebut.

Beliau menyeru pelajar dan warga universiti untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan setiap masa. 

Sehingga kini, terdapat seramai 6,012 mahasiswa termasuk 5,408 yang berada di dalam kampus UMP Pekan dan Gambang manakala mahasiswa lain yang tidak kembali ke kampus kekal mengikuti pengajian secara dalam talian.  

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit