Kelestarian Kampus Antara Agenda Kegemilangan UMP
Agenda penghijauan kampus antara yang sering menjadi keutamaan bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam setiap perancangan belajawan tahunan. Kampus utama UMP yang terletak di Mukim Kuala Pahang dibangunkan di atas tanah paya yang ditambak dengan tanah pasir merupakan antara cabaran utama kepada survival pokok-pokok yang ditanam. Struktur tanah pasir yang tidak menyimpan kelembapan dan air sekali lagi antara cabaran yang perlu didepani oleh UMP apabila tibanya musim tengkujuh.
Walau bagaimanapun, cabaran ini bukanlah alasan untuk UMP mengetepikan fokusnya untuk mewujudkan kampus yang hijau dan lestari untuk warganya. Dewasa ini, terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa pengenalan baja organik sama ada dari bahan tumbuhan atau sisa haiwan kepada tanah pasir akan meningkatkan kesuburannya dan sifat fizikalnya. Pendekatan ini telah digunakan oleh UMP untuk meningkatkan status peningkatan nutrien pasir di tapak projek.
Tanah pasir juga mesti dibajakan dengan lebih kerap berbanding tanah dari tekstur lain kerana nutrien tidak dapat disimpan pada permukaan pasir dan di sekitar akar pokok untuk jangka masa yang lama. Menambah bahan organik akan meningkatkan kedua-dua kapasiti penahan air dan pemakanan nutrien tanah berpasir. Tanah pasir juga kurang memberikan sokongan fizikal yang mencukupi untuk pokok tumbuh dengan baik terutamanya pokok kayu. Oleh itu, pokok-pokok yang ditanam memerlukan sokongan untuk beberapa musim pertama pertumbuhan selain untuk mengelakkan ia tumbang akibat tiupan angin.
Hasil usaha dan hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Daing Nasir Ibrahim, UMP telah berjaya mentransformasikan kampus yang tandus kepada kampus yang lebih hijau. Sebagai sebuah Universiti Teknikal, UMP tidak mampu untuk berdiam diri tanpa berbuat apa-apa mengenai struktur tanah yang tandus. Satu usaha yang menyeluruh telah digerakkan melalui melalui pemantauan rapi Naib Canselor sendiri.
Hasilnya telah dapat dilihat pada hari ini apabila UMP telah berjaya untuk menempatkan diri di kedudukan ke-97 terbaik dunia dan ke-6 di Malaysia di dalam Penarafan UI GreenMetrics World University Ranking 2018 yang telah diumumkan pada 19 Disember 2017 di Balai Sidang, Universitas Indonesia, Indonesia.
Pencapaian di dalam Penarafan UI GreenMetrics World University Ranking 2018 menyaksikan UMP telah berjaya memperbaiki sebanyak sepuluh kedudukan berbanding di kedudukan ke-107 dalam penarafan 2017. Penilaian yang dibuat melalui enam kriteria utama iaitu Setting & Infrastructure, Energy & Climate Change, Waste, Water, Transportation dan Education memperlihatkan UMP memperbaiki perolehan markah secara keseluruhannya.
Tahiah warga UMP.
Oleh: HAZLINA FAIZAL, JABATAN HAL EHWAL KORPORAT & KUALITI (JHKK)
- 97 views