Skip to main content

Komunikasi, bahasa dan teknologi bergerak seiring lahirkan graduan holistik UMPSA

PEKAN, 30 Julai 2026 – Kemahiran komunikasi dan penguasaan pelbagai bahasa merupakan elemen penting dalam melahirkan graduan TVET yang holistik, berdaya saing serta memenuhi keperluan industri global.

Dekan Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Dr. Zuraina Ali berkata, walaupun UMPSA terkenal sebagai sebuah universiti teknikal, aspek komunikasi tidak pernah diketepikan kerana ia menjadi pelengkap kepada penguasaan ilmu dan teknologi.

“Teknologi semata-mata tidak mencukupi sekiranya graduan tidak mampu menyampaikan idea, berinteraksi secara profesional serta memimpin organisasi dengan berkesan.

"Teknologi adalah kekuatan utama UMPSA, namun komunikasi menjadi jambatan yang membolehkan ilmu, inovasi dan produk yang dibangunkan diterjemahkan kepada masyarakat dan industri.

"Atas sebab itu, penguasaan bahasa dan kemahiran komunikasi terus diperkasakan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknikal, malah mempunyai nilai kepimpinan dan keyakinan diri," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Podcast 360 bersama moderator dan juga Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Mimi Rabita Haji Abd Wahit yang membincangkan peranan PBM dalam memperkukuh Agenda Pendidikan TVET di UMPSA. 

Menurut beliau, PBM bukan sekadar menawarkan kursus bahasa Inggeris, malah turut menyediakan pembelajaran bahasa antarabangsa seperti Mandarin, Jerman, Korea, Arab dan Rusia bagi menyokong agenda pengantarabangsaan universiti serta kerjasama akademik dengan institusi luar negara.

“Pendekatan pembelajaran di PBM turut memberi penekanan kepada empat kemahiran utama bahasa iaitu membaca, menulis, mendengar dan bertutur yang diterapkan dalam setiap kursus bagi membentuk graduan yang kompeten dan yakin berkomunikasi.

“Kemahiran insaniah tidak dapat dibentuk dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan latihan berterusan menerusi aktiviti akademik, pembentangan, projek berkumpulan dan penglibatan bersama industri.

“Dalam masa yang sama, PBM turut aktif melaksanakan pelbagai program khidmat masyarakat termasuk pembangunan modul bahasa yang disesuaikan mengikut kumpulan sasaran seperti murid sekolah, komuniti Orang Asli dan masyarakat luar bandar,” ujarnya. 

Katanya, pendekatan tersebut membolehkan ilmu bahasa dimanfaatkan secara lebih inklusif sekali gus membantu meningkatkan tahap penguasaan komunikasi dalam kalangan komuniti.

“Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan pelbagai program bersama industri seperti pembentangan projek, pertandingan inovasi dan aktiviti profesional yang mampu meningkatkan kemahiran komunikasi serta keyakinan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“PBM kini sedang memperluaskan kemudahan pembelajaran melalui pembangunan studio podcast, makmal bahasa, Baca Hub serta Voices Hub yang dijangka menjadi antara identiti baharu pusat itu dalam memperkasakan pembelajaran bahasa secara lebih kreatif dan interaktif,” katanya. 

Profesor Madya Dr. Zurain berkata, peranan PBM turut berkembang selari dengan agenda pengantarabangsaan UMPSA apabila pusat itu menawarkan pelbagai bahasa antarabangsa bagi memenuhi keperluan pelajar yang mengikuti program mobiliti serta ijazah dual bersama universiti luar negara.

"Sebagai contoh, bagi memenuhi keperluan program kerjasama antarabangsa, PBM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Malaya (UM) dalam pengajaran bahasa Rusia, sekali gus memperluaskan akses pembelajaran bahasa asing kepada pelajar UMPSA. 

“Selain pengajaran di bilik kuliah, PBM turut aktif membangunkan pelbagai inovasi pembelajaran termasuk aplikasi digital, modul interaktif dan bahan pembelajaran bahasa yang berjaya menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan teknologi itu selari dengan keperluan generasi masa kini yang lebih cenderung menggunakan platform digital sebagai medium pembelajaran kendiri,” katanya. 

Dalam memperkukuh tanggungjawab sosial universiti katanya, PBM turut melaksanakan pelbagai program pemindahan ilmu bersama komuniti termasuk masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands, sekolah anak angkat universiti serta pelajar luar bandar menerusi modul bahasa yang disesuaikan mengikut keperluan kumpulan sasaran.

"Setiap komuniti mempunyai keperluan yang berbeza, justeru modul yang dibangunkan juga disesuaikan agar lebih berkesan dan mudah difahami. 

“PBM juga sedang merangka hala tuju baharu untuk berkembang sebagai sebuah fakulti pada masa hadapan dengan menawarkan pelbagai sijil profesional dan latihan bahasa kepada masyarakat serta industri, sekali gus menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat,” jelas beliau. 

Mengulas hala tuju pusat itu, beliau berkata, PBM berhasrat memperluaskan penawaran latihan profesional dan pensijilan bahasa pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan industri serta pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau berharap lebih ramai pelajar memilih UMPSA sebagai destinasi pengajian kerana universiti itu bukan sahaja menawarkan pendidikan TVET berkualiti tinggi, malah menyediakan ekosistem pembelajaran yang mampu melahirkan graduan teknikal yang mempunyai kemahiran komunikasi bertaraf global.

Mengakhiri temu bual, beliau menyeru pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang mempelajari bahasa antarabangsa kerana penguasaan pelbagai bahasa bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membuka lebih banyak peluang kerjaya di peringkat global.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri