Konsortium MRI3 Fokus Sektor Utama Negara Dalam Automotif, Logistik Dan Rel
Putrajaya, 6 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilantik peneraju sektor automotif dalam pelaksanaan program Ministry of Higher Education Research and Industry-Infused Incubator (MRI3) atau Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri (MRI3) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi tumpuan terhadap sektor utama negara melibatkan sektor automotif, logistik dan rel.
Dua lagi universiti peneraju MRI3, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi sektor logistik dan rel diterajui oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pelancaran tiga konsortium baharu di bawah MRI3 adalah lanjutan daripada kejayaan model pertama MRI3 bagi sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E) yang diterajui Universiti Sains Malaysia (USM).
Majlis menyaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyempurnakan peluncuran Education Institutions–Industry Summit (HEIS) dan MRI3 sempena Putrajaya Festival of Ideas (FOI) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Hadir menerima lantikan, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali.
Turut hadir bertemu dengan industri Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi (CHED) Filipina, TYT Dr. Shirley Castaneda Agrupis.

Hadir sama hadir adalah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman dan CEO MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Menurut YB Datuk Ts. Mustapha, pelancaran MRI3 dan penganjuran HEIS menandakan satu detik penting dalam penyatuan ilmu, penyelidikan dan industri untuk menjayakan agenda Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan berasaskan inovasi.
“Kita berkumpul hari ini bukan sekadar untuk satu acara perasmian, tetapi untuk satu detik penentu iaitu ilmu bertemu peluang, penyelidikan berpadu dengan industri dan Malaysia melangkah berani sebagai negara peneraju inovasi dunia.
“FOI menjadi simbol keberanian Malaysia untuk mengangkat potensi modal insan sebagai sumber kekayaan negara yang sebenar.
“Ia bukan sekadar pesta ilmu, tetapi pernyataan tegas Malaysia kepada dunia bahawa sumber alam paling bernilai bukan di bawah tanah, tetapi di dalam minda rakyatnya,” ujarnya.
Tambah beliau, MRI3 bukan sekadar program tetapi sebuah janji bahawa universiti bukan lagi beroperasi secara terasing, sebaliknya menjadi enjin inovasi, pemacu pelaburan dan nadi ekonomi masa depan.
“Dengan pelancaran tiga konsortium baharu ini, kita bukan hanya menambah program, tetapi memperluas strategi nasional secara menyeluruh,” jelas beliau.
Beliau menambah lagi, bagi sektor automotif, UMPSA bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan rakan kolaborasi strategik yang turut disertai UniMAP, UTHM dan UTM.
“Konsortium ini akan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui latihan industri berstruktur, program latihan semula dan projek tahun akhir yang disokong syarikat automotif utama termasuk Hino Motors, Proton, Perodua, Mercedes-Benz Malaysia dan Volkswagen Group Malaysia.
“Ini bukan latihan semata-mata, tetapi pembinaan kapasiti strategik yang menjamin pekerjaan dan maruah graduan Malaysia.
“Dalam sektor logistik, UMT mengetuai konsortium dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta syarikat utama seperti PKT Logistics, Kuantan Port, Port of Tanjung Pelepas dan MATRADE,” ujar beliau sambil menekankan sasaran menjadikan Malaysia hab logistik serantau menjelang 2030.
Selain itu, beliau menambah, melalui MRI3 Logistik, ia bukan sahaja menyertai ekonomi logistik, ia juga sebagai pemain utama di rantau ini dan bagi sektor rel, UTHM menerajui MRI3 Rail Transportation Consortium dengan penglibatan syarikat utama seperti Malaysia Rail Link (MRL), MRT, KTMB, Sarawak Metro, Prasarana Malaysia Berhad dan Express Rail Link (ERL).
“Dengan MRI3 Rel, kita bukan hanya membina landasan, tetapi asas kepada masa depan berimpak tinggi dan berteknologi maju.
“Sinergi antara universiti, industri, kerajaan dan masyarakat menerusi Triple Helix Collaboration kini direalisasikan secara nyata melalui platform MRI3 dan HEIs.
“Kita bukan sekadar berbicara tentang kolaborasi, kita sedang merealisasikannya, secara nyata dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Naib Canselor UMPSA serta 14 universiti awam dan agensi yang terlibat dalam menjayakan persidangan tersebut termasuk UTeM, USM, UniMAP, UMT, UTHM, UPM, UM, UTM, UiTM, USIM, UniSZA, UMK, UMS, dan MIDA.
Kejayaan MRI3 bukan hanya akan membentuk masa depan graduan, tetapi juga masa depan Malaysia.
Dalam pada itu, Profesor Dr. Yatimah, UMPSA amat berbesar hati dapat menerajui sektor automotif di bawah MRI3 kerana inisiatif ini membawa pendekatan baharu kepada ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara.
“Ia bukan sekadar platform kolaborasi, tetapi satu ekosistem menyeluruh yang menyatukan potensi penyelidik universiti dengan kepakaran industri dalam memastikan setiap inovasi dan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
“Kepimpinan UMPSA dalam sektor automotif merupakan kesinambungan kepada kekuatan universiti dalam bidang kejuruteraan dan teknologi,” ujarnya.
Beliau turut menambah, universiti akan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran sedia ada untuk memacu inisiatif penyelidikan bersama industri utama.
Turut berlangsung penganjuran HEIS menyokong aspirasi FOI dalam mempromosikan idea-idea inovatif dan meningkatkan imej Malaysia sebagai hab untuk pengetahuan dan kreativiti dalam kalangan industri.
HEIS merupakan platform untuk wacana intelektual dan pemikiran strategik bagi jaringan ahli akademik dan industri dalam memupuk kerjasama strategik universiti-industri bagi memacu pembangunan bakat, inovasi, pertumbuhan ekonomi serta membangunkan penyelesaian dan pelan tindakan dalam menangani isu-isu semasa.
HEIS terdiri daripada dua ucaptama dan tujuh sesi forum selari berdasarkan sektor industri penting di Malaysia yang menghimpunkan tokoh industri dan agensi utama negara.
Antara panel yang akan hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad; Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Dr. Susanne Lehmann; Naib Presiden dan Pengarah Urusan Western Digital, Datuk Raghu Bathamenadan; Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Dato’ Kamarul A. Muhamed; dan Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics Group, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio.
Ucaptama HEIS akan disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SGH2 Energy Global Corp, Amerika Syarikat, Dr. Robert T. Do, bertajuk ‘Green Hydrogen: Powering Malaysia’s Net Zero Ambition’ yang dijangka memberi perspektif global terhadap pembangunan tenaga hijau dan hala tuju Malaysia menuju ekonomi karbon rendah.
Ia turut mencerminkan hasrat universiti untuk menterjemahkan penyelidikan kepada hasil yang memberi impak ekonomi, sosial dan teknologi, selaras dengan aspirasi KPT untuk memperkasa pendidikan tinggi sebagai tunjang pembangunan negara.
Sepanjang dua hari penganjuran, HEIS akan mempertemukan tokoh-tokoh ternama daripada pelbagai sektor strategik negara melalui forum melibatkan industri automotif, logistik, rel, E&E dan semikonduktor, aeroangkasa, kimia, kesihatan serta inovasi sosial.
Penganjuran HEIS di bawah FOI 2025 dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat negara, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan berpendapatan tinggi.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 53 views