Kontinjen UMPSA tampil bergaya semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Pahang
KUANTAN, 31 Ogos 2025 – Kontinjen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tampil bergaya dalam perbarisan bagi menyemarakkan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Kuantan dan Pekan.
Kontinjen UMPSA disertai seramai 62 orang staf dan tiga orang pelajar yang diketuai oleh staf Bahagian Keselamatan, Mohammad Hafizi Ali di Kuantan dan Abd Halim Othman di Pekan.
Majlis menyaksikan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 1.
Turut hadir Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias yang hadir memberi sokongan buat kontinjen UMPSA.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, pihaknya menzahirkan penghargaan tahniah kepada kedua-dua kontinjen UMPSA yang menunjukkan komitmen dan menggalas tanggungjawab untuk menunjukkan persembahan yang terbaik dalam sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 di negeri Pahang.
“Penyertaan UMPSA pastinya dapat meningkatkan nama baik dan imej universiti serta dapat menyemarakkan semangat patriotisme antara satu sama lain,” ujarnya.
Beliau turut berbangga apabila kontinjen UMPSA yang diketuai Mohammad Hafizi Ali, memenangi tempat ketiga dalam acara perarakan jalan kaki komponen 4 Kontinjen Pewaris Bangsa sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Tahun 2025 di Kuantan.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan tahun ini juga menyaksikan lebih 150 agensi dengan kategori pertandingan melibatkan agensi/jabatan Kkerajaan, swasta/Badan Bukan Berkanun (NGO), IPTA/IPTS dan Kadet Sekolah, pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Askar Wataniah.
Manakala di bandar Pekan, lebih 5,000 warga Pekan membanjiri Dataran Majlis Perbandaran Pekan seawal jam 6.30 pagi dengan berbusana patriotisme berlatar belakang warna-warna Jalur Gemilang.
Acara yang disambut dengan penuh gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pekan, Tuan Azora@Ahmad Shamsudin.
Hadir sama mewakili UMPSA di Pekan ialah Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Persembahan perbarisan ini menyaksikan pasukan E-Motion UMPSA mendahului perbarisan. Pasukan ini yang pernah menjuarai pertandingan Next Generation Vehicle (NxGV) Challenge 2025 mempamerkan kehebatan menghasilkan prototaip kenderaan EV iaitu satu pertandingan yang menguji kebolehan pelajar dalam membangunkan dan mempamerkan prototaip kenderaan elektrik yang berfungsi dengan cekap,moden dan berdaya saing.
Sebanyak 38 kontinjen dari agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telah mengambil bahagian pada kali ini dan sebanyak 15 penyertaan perbarisan berkenderaan mengambil bahagian dengan pelbagai gaya hiasan.
Disediakan oleh Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat
- 141 views
Reports by: