Mustaf Mahasiswa Antarabangsa Fasih Berbahasa Melayu
Pekan, 2 Disember- Melihat perwatakannya yang bersahaja tiada siapa menyangka Mustaf Mohamed, 23, mahasiswa antarabangsa berbangsa Somali dan memiliki kerakyatan United Kingdom ini minat dan fasih bertutur dalam Bahasa Melayu.
“Saya juga gemar berkawan dengan rakan-rakan dari Malaysia dan apabila bermain bola sepak bersama memberikan saya peluang untuk mengingati lebih banyak bahasa dan lebih rapat dengan mereka,” ujarnya yang minat bersukan pada waktu petang.
Malahan beliau yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia bergiat aktif dalam aktiviti pengucapan awam juga berpidato. Lebih memberikan semangat buatnya mendalami Bahasa Melayu adalah hasil kejayaan abangnya, Maahad Mohamed yang baharu sahaja menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pernah memenangi Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri beberapa tahun lalu.
Bakatnya dalam berpidato mencuri tumpuan Guru Bahasa Melayu di Pusat Bahasa Moden, UMP iaitu Juwairiah Osman. Percaya dengan bakat dan kesungguhan, Mustaf telah diberi pendedahan dan dilatih bersama ahli Kelab Orator UMP seperti Mohd Khairil Redza, Ahmad Syahmi Aiman Adnan, Nurayuni Norli, Aslyana Rahman dan Amirul Amin sehingga berjaya menguasai bahasa Melayu dengan sangat baik.
Menurut Juwairiah, Mustaf bertuah apabila terpilih mewakili UMP dalam Pertandingan PABM baru-baru. Turut sama dicalonkan bagi kategori antarabangsa adalah Ali Khatib Juma dari Tanzania dan Maliha Tahsin dari Bangladesh.
Mustaf telah menyampaikan pidato bertajuk “Pelarian dan Imigran Menjana Kebangkitan Ekonomi” yang berkongsi kisah keluarganya yang merupakan imigran dari Somali yang telah berhijrah ke United Kingdom. Berdepan suasana sukar pada awalnya bukan halangan buat ibu bapanya berjaya dalam kerjaya dan membuka perniagaan di negara tersebut.
Lebih membanggakan Mustaf berjaya berada di tangga ketujuh daripada 35 penyertaan bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) 2019 baru-baru ini yang berlangsung di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Perak. PABM telah diadakan sejak 2006 lagi anjuran Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Majlis Debat Universiti (MADUM) bagi memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu ke persada dunia.
Pengalaman menyertai pertandingan ini pastinya memberikan kenangan terindah buatnya. Selain dapat berkenalan dengan pelajar daripada universiti lain, peserta juga berkesempatan mengenali budaya Melayu di Perkampungan Melayu, Kg. Misa dan destinasi pelancongan dan pelbagai tempat kebudayaan Melayu di negeri Perak.
“Saya akan tulis dalam Bahasa Inggeris dan meminta bantuan guru bahasa atau kawan-kawan lain untuk diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Dengan menghafal, mengingati dan menggunakan ayat dalam perbualan lama-kelamaan ianya akan menjadi suatu kebiasaan,” ujar Mustaf yang berkongsi tips mudah menguasai bahasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih atas bantuan guru bahasa, pensyarah dan mahasiswa lain yang banyak memberi sokongan buatnya dan mahasiswa antarabangsa yang lain dalam menikmati pengalaman kampus yang menyeronokkan di universiti ini.
Disediakan oleh Juwairiah Osman daripada Pusat Bahasa Moden dan Suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.
- 217 views