NC UMPSA berkongsi pandangan dalam memperkasa Agenda TVET dalam Kongres Pendidikan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 1 Mei 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkongsi pandangan dalam memperkasakan Agenda TVET Negara yang bukan sahaja menjawab cabaran Revolusi Industri malah menjadi nadi pemerkasaan ekonomi Bumiputera secara mampan.
Beliau berucap dalam Kongres Pendidikan Bumiputera bertajuk ‘Transformasi TVET Termaju: Memacu Inovasi Industri dan Kebolehpasaran Bumiputera’ di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, dalam memperkukuh masa depan pendidikan Bumiputera melalui pendekatan yang lebih progresif, dinamik dan relevan dengan keperluan semasa, UMPSA memfokuskan berkaitan TVET Termaju yang merupakan ‘niche area’ UMPSA yang merupakan universiti awam di dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
“Di UMPSA, kami telah membangunkan satu kerangka yang dikenali sebagai Advanced TVET Blueprint,” katanya.
Ekosistem TVET Termaju UMPSA ini turut disokong oleh fasiliti moden dan canggih, kursus yang ditawarkan, tenaga pengajar serta pakar yang dimiliki serta penfiktirafan industri dari dalam dan luar negara seperti Academy Bosch Rexroth, Academy Wecon dan Pusat Pensijilan Professional EV IMI.
Selain itu katanya, terdapat empat bidang fokus utama bagi transformasi TVET Termaju di UMPSA iaitu Mobiliti Termaju & Aeroangkasa (Advanced Mobility & Aerospace).
“Bidang ini memfokuskan kepada evolusi sistem pengangkutan darat dan udara melalui integrasi teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI).
“Selain itu, Bahan Termaju & Ekonomi Kitaran (Advanced Materials & Circular
Economy) dengan fokus utama adalah terhadap penciptaan bahan baharu yang lebih kuat, ringan dan lestari serta pengurusan sumber secara berterusan.
“Begitu juga dengan bidang Infrastruktur Lestari & Pembinaan Pintar (Sustainable Infrastructure & Smart Construction) dengan mentransformasikan industri pembinaan tradisional kepada ekosistem digital yang lebih cekap dan mesra alam,” ujarnya.
Manakala bidang Transisi Tenaga & Teknologi Hijau (Energy Transition & Green Technology) ini disokong oleh teknologi seperti AI dan machine learning, IoT, robotik dan automasi serta keselamatan siber.
Ujar beliau lagi, dengan empat bidang fokus TVET Termaju ini, graduan UMPSA bakal menerima manfaat bagi pemerkasaan sosioekonomi melalui sektor strategik Mobiliti Termaju dan Aeroangkasa, Pembangunan Usahawan Tekno (Technopreneurs).
“Lain-lain Dominasi Kontraktor Bumiputera dalam Era Digital Bidang Infrastruktur Lestari & Pembinaan Pintar dan Tenaga Hijau dan Lestari Transisi Tenaga,” tambahnya.
Profesor Ts. Dr. Yatimah juga turut berkongsi tentang 99.1% Kadar Bekerja Graduan (GE) yang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas graduasi.
“UMPSA merupakan satu-satunya UA di Malaysia yang diiktiraf sebagai Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik oleh Asia Pasific Accreditation and Certification Commission.
“Lebih membanggakan UMPSA merupakan UA tunggal di Malaysia yang diperakukan menerima pentauliahan Persijilan Antarabangsa Institute of the Motor Industry (IMI) United Kingdom sebagai salah sebuah pusat latihan kenderaan hibrid dan elektrik,” katanya.

Profesor Ts. Dr. Yatimah mengharapkan sebagai penggerak perubahan melalui Kongres Pendidikan Bumiputera ini, beliau berharap dapat diberi lebih banyak peluang bagi kolaborasi industri terutamanya dalam projek R&D.
“Selain itu, diharapkan agar kerajaan terus memberi sokongan kepada universiti seperti UMPSA melalui biasiswa pendidikan, geran penyelidikan dan pembangunan infrastruktur TVET,” ujarnya.
Profesor Ts. Dr. Yatimah berucap di hadapan lebih 5,000 peserta kongres yang membabitkan enam sesi utama; 25 pembentang pakar dan enam pengerusi serta moderator.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir merangkap Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera.

Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh terbaik negara daripada pelbagai lapangan dalam sistem pendidikan sekolah, prasekolah sehingga ke pendidikan tinggi.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 15 views