Skip to main content

Nombor plat khas UMP ‘UC’ mulai dibida 1 Februari depan

PAYA BESAR, 28 Januari 2022 - Nombor  pendaftaran plat khas Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu ‘UC’ bakal dibida mulai 1 hingga 14 Februari depan. 

Proses  bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal.

Manakala bagi pelajar dan staf UMP berpeluang mendapat harga istimewa apabila mulai ditawarkan mulai 25 Februari 2022.

Menurut Pengerusi LPU, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi Yayasan UMP berkata, pihaknya menyasarkan penjualan siri nombor pendaftaran tersebut mampu mencecah sehingga RM3.5 juta bagi fasa pertama dengan proses bidaan itu dikendalikan syarikat yang dilantik iaitu Aquatwo Sdn. Bhd.

“Sesuatu yang unik ditawarkan oleh UMP adalah apabila memilih nombor pendaftaran ‘UC’.

“Kombinasi kedua huruf ‘UC’ ini diambil bagi mewakili huruf ‘U’ yang merupakan awalan perkataan UMP manakala ‘C’ merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri ini yang juga identiti negeri Pahang,” katanya pada majlis penyerahan nombor plat khas ‘UC’ di UMP Kampus Gambang di sini hari ini.

Hadir sama Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Pengarah Urusan Aquatwo Sdn. Bhd., Datin Nabiha Mustapha. 

Tambahnya , penjualan tersebut bermula susulan hasrat dan inisiatif pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan semua universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri.

“Ini adalah sebahagian usaha Yayasan UMP untuk meningkatkan sumber pendapatan dan hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan,” katanya. 

Syarikat Aquatwo bertanggungjawab sepenuhnya menjadi sekretariat plat ‘UC 1 - UC 9999’ dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan ejen pemasaran, promosi dan sistem jualan/bidaan nombor plat khas berkenaan. 

Bagi yang berminat boleh melayari laman sesawang http://www.ucplat.com.my bagi mengikuti perkembangan untuk membida nombor pendaftaran UC ini nanti bermula 1 hingga 14 Februari 2022.  

Nombor ‘UC’ ini boleh didaftarkan bermula 1 Mac 2022 sehingga Oktober 2024.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 
e-mel: mimirabitah@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit