Skip to main content

Peluang emas untuk pelajar UMPSA: Yayasan Mohamed Noah komited bantu dengan Dermasiswa RM400,000

PEKAN, 5 Julai 2024 – Yayasan Mohamed Noah telah memperkukuhkan komitmennya terhadap pembangunan pendidikan negara dengan menyumbangkan dermasiswa berjumlah RM400,000 kepada pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Majlis Penyerahan Dermasiswa tersebut telah berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan.

Majlis yang penuh bermakna itu telah dirasmikan oleh EXCO Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib. 

Menurut Dato’ Mohamad Nizar, sumbangan dermasiswa ini adalah bukti komitmen berterusan Yayasan Mohamed Noah dalam menyokong pendidikan dan pembangunan masyarakat.

"Yayasan Mohamed Noah berdiri teguh di atas prinsip-prinsip keadilan, kebajikan, dan kesaksamaan. 

“Kami sentiasa memastikan bahawa setiap sumbangan dan bantuan yang diberikan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. 

“Dermasiswa yang diberikan pada hari ini adalah simbol harapan dan dorongan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan," ujarnya. 

Dermasiswa ini merangkumi sepenuhnya yuran pengajian sepanjang empat tahun dan seramai 50 pelajar cemerlang akan menerima tajaan dermasiswa ini. 

Para penerima dermasiswa tidak perlu risau akan bebanan yuran pengajian mereka sepanjang tempoh tersebut dan memberi peluang emas untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu pengetahuan serta kecemerlangan akademik tanpa sebarang gangguan.

Tambah beliau lagi, para penerima dermasiswa adalah permata berharga yang bakal mencorakkan masa depan negara. 

“Gunakanlah peluang ini untuk menimba ilmu pengetahuan, mengembangkan bakat dan potensi diri, serta menjadi individu yang berintegriti dan berwawasan," pesan beliau kepada para pelajar.

Manakala menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, Dermasiswa ini adalah simbol harapan dan dorongan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Peluang emas untuk pelajar UMPSA

“Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan individu dan masyarakat. 

“UMPSA berterima kasih kepada Yayasan Mohamed Noah atas sumbangan yang amat bermakna ini. 

“Semoga usaha ini dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berakhlak mulia dan berdaya saing,” katanya. 

Salah seorang penerima dermasiswa, Mohamad Nu’man-Ul-Shahmi Ahmad Zulkarnain, melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diterimanya.

"Dermasiswa ini memberikan saya peluang untuk meneruskan pengajian tanpa perlu risau tentang yuran. 

“Saya berjanji akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mencapai kecemerlangan," katanya dengan penuh semangat,” katanya. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Bendahari UMPSA, Dato’ Zainudin Othman.

Jalinan kerjasama antara UMPSA dan Yayasan Mohamed Noah diharapkan dapat terus berkembang pada masa akan datang dengan lebih banyak inisiatif bersama untuk meningkatkan taraf pendidikan dan pembangunan sosial di negara kita.

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News