Persatuan Wanita UMP sumbang kelengkapan pakaian sekolah
PEKAN, 22 Mac 2023 - Prihatin dengan persiapan persekolahan anak-anak masyarakat setempat, Persatuan Wanita Universiti Malaysia Pahang (Matahari) menganjurkan Program Back To School (BTS) 2023 bertempat di Dewan Auditorium, Perpustakaan UMP Pekan.
Majlis sumbangan telah disampaikan oleh Presiden Matahari, Datin Dr. Hajah Mazita Mokhtar kepada lebih 20 orang anak-anak yang memerlukan.
Menurut Datin Dr. Hajah Mazita, program ini merupakan inisiatif sosial yang bertujuan untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan terutama mereka yang terdiri dari golongan B40.
Pada program kali ini, pihaknya memberikan baucar Mydin yang bernilai RM150 kepada setiap penerima.
Beliau mengharapkan bantuan ini dapat meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan sekolah bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.
Ujarnya bantuan ini akan menjadi titik permulaan kepada anak-anak yang menerima bantuan untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.
Salah seorang penerima dan ibu tunggal, Rosilah Abdullah mengucapkan terima kasih kepada Matahari UMP yang membantu meringankan bebannya untuk membeli kelengkapan pakaian sekolah.
Ujarnya, dengan pendapatan menyiang ikan sememangnya kos untuk membeli kelengkapan pakaian sekolah menengah bagi dua anaknya agak tinggi.
“Dengan sumbangan ini, dapatlah saya membeli pakaian tersebut dan duit gaji pula dapat digunakan untuk membayar yuran persekolahan.
“Saya amat terharu dengan sumbangan ini, sejujurnya penubuhan UMP di Pekan banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya di Pekan, “ katanya.
Hadir sama Timbalan Presiden Matahari, Hajah Paridah Mohd Ali dan barisan tertinggi Matahari.
Pada majlis yang sama, sumbangan banjir turut diserahkan kepada lima orang ahli Matahari yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.