Skip to main content

Perutusan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersempena dengan Hari Kebangsaan Ke-68 pada 31 Ogos 2025

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Warga UMPSA yang saya kasihi,

Pada hari penuh makna 31 Ogos ini, kita bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan Ke-68 dengan rasa penuh kesyukuran. 

Alhamdulillah, nikmat kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu, yang berjuang tanpa mengenal lelah demi memastikan kita hidup dalam sebuah negara yang bebas, bermaruah dan berdaulat.

Detik ini bukan sekadar peringatan kepada detik kebebasan daripada belenggu penjajahan, tetapi lebih besar daripada itu. Ia adalah manifestasi keberanian, pengorbanan dan kesepakatan seluruh rakyat yang bersatu hati membina negara bangsa.

Kemerdekaan bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi ia adalah jiwa yang hidup dalam diri kita semua. Ia mengingatkan bahawa kebebasan hari ini dibayar dengan keringat, air mata dan darah para pejuang. Tugas kita pula adalah mempertahankan, memperkasa dan mewariskan kemerdekaan ini kepada generasi akan datang dengan penuh tanggungjawab.

Dunia hari ini penuh dengan cabaran baharu, persaingan global, transformasi teknologi, perubahan iklim dan pelbagai ketidaktentuan. Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang berani untuk bergerak seiring dengan arus perubahan. 

Bagi sebuah universiti, keberanian itu bermakna kesanggupan untuk berinovasi, untuk mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran, serta memperkukuh budaya penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat. Universiti yang merdeka adalah universiti yang tidak takut berubah, tetapi berani memimpin perubahan. 

Warga UMPSA yang saya hormati,

Seiring dengan Nilai Teras UMPSA dan falsafah SPIROS sebagai panduan dalam perjalanan universiti, lima aspek akan terus diberi tumpuan iaitu, Skills – memperkasa pelajar dan staf dengan kemahiran teknikal, insaniah dan global yang relevan; Perfection – mengejar kesempurnaan dalam akademik, penyelidikan, inovasi dan tadbir urus; Impact – memastikan setiap hasil penyelidikan dan program memberi kesan nyata kepada komuniti, industri dan negara; Resilience – membina warga universiti yang berdaya tahan dalam menghadapi perubahan dan cabaran masa hadapan; Optimisation – mengoptimumkan sumber dan tenaga universiti secara bijaksana demi keberkesanan dan keberhasilan serta Sustainability – menjunjung prinsip kelestarian agar universiti terus relevan dan berdaya saing dalam jangka panjang.

SPIROS menjadi kompas UMPSA untuk melahirkan graduan pintar, penyelidik berdaya cipta, staf yang berintegriti, serta kampus yang lestari. Setiap usaha kita, sama ada mengajar di bilik kuliah, menjalankan eksperimen di makmal, mengurus pentadbiran universiti atau turun bersama masyarakat adalah cerminan semangat merdeka yang sebenar.

Sebagai sebuah universiti teknikal, UMPSA perlu berdiri teguh sebagai rakan strategik negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, memperkukuh daya saing industri, dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Berkongsi kejayaan universiti, saya berbangga dengan pencapaian pelajar UMPSA dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) iaitu Ibrahim Ismail Ahmad dan Gooi En Yi yang terpilih sebagai penerima Partner Scholarship Technical University of Applied Sciences Mannheim, Jerman bagi menyertai mobiliti berkredit. 

Manakala tiga orang alumni UMPSA terpilih mengikuti Erasmus Mundus Joint Master Programme (EMJM) 2025. Mereka adalah Hassan Al-Faiz alumni daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) yang akan melanjutkan pengajian di Hochschule Karlsruhe, Jerman. 

Seramai dua orang alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Safwan Seruji pula akan melanjutkan pengajian di Hochschule Karlsruhe, Jerman dan Alvin Fong Kean Wen akan melanjutkan pengajian di Högskolan i Skövde, Sweden.

Kejayaan lima orang pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA yang merupakan kohort pertama Program Ijazah Dual Kejuruteraan Elektrik (BHE) berlepas ke Jerman untuk menjalani latihan industri bermula 1 September 2025 hingga 28 Februari 2026. Mereka terdiri daripada Ikram Umar Azra’i bin Tarmizi, Imran Hakimi bin Oslan Affandi, Chun Keat a/l Elek, Nandhana Shankara a/l Thamil Selvan dan Juni Insyirah binti Jamri yang ditempatkan di beberapa syarikat multinasional antaranya, Leuze Electronic GmbH & Co. KG, Bitzer Kühlmaschinenbau GmbH, Continental Automotive Technologies GmbH dan Vacuumschmelze GmbH & Co. KG.

Berkongsi kejayaan universiti di sepanjang bulan kebangsaan ini, Kita juga turut berbangga dengan pencapaian pelajar Fakulti Komputeran (FK), Kamaleshwahrran Naidu yang berjaya meraih juara Pertandingan Artikel Ilmiah (Cyber Resilience) sempena Majlis PDRM Special Dialogue (PSD) 111. 

Lebih mengujakan, kesemua kejayaan yang diraih oleh pelajar UMPSA ini berlangsung sepanjang bulan Kebangsaan ini. 

Begitu juga dalam menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan, pelbagai aktiviti telah dirancang melibatkan penyertaan warga kampus iaitu Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Kuantan dan Pekan, Pertandingan TikTok  Merdeka, Program Alun Puisi 8 jam, UMPSA Merdeka Night Run 2025, Misi Merdeka Puncak Kinabalu, Program Bicara Negara dan lain-lain. Tahniah! Buat Semua. 

Warga UMPSA yang saya sayangi,

Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan tahniah buat seluruh warga UMPSA atas kejayaan universiti diiktiraf penerima Industry 4.0 Skills Leadership Award pada Malaysia Education & TVET Awards (META) 2025 baru-baru ini. Sinergi ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem akademik–industri, malah menyumbang kepada agenda pembangunan lestari, inovasi dan kesejahteraan masyarakat selari dengan aspirasi negara Malaysia.

To international students and staff who are part of the UMPSA family, you are also part of this journey of transformation. Merdeka is not only about Malaysia’s independence, but about the universal courage to embrace change, to innovate, and to build a sustainable future together. With the introduction of the SPIROS philosophy this year, UMPSA is charting a new path, one that welcomes diversity, nurtures talents, and creates impact beyond borders. We invite you to walk this path with us, to grow, to contribute, and to carry the spirit of UMPSA and Malaysia with you wherever you go.

Akhirnya, marilah kita sama-sama menghayati Hari Kebangsaan ini dengan hati yang tulus, penuh cinta, hormat dan rasa tanggungjawab. Semoga Malaysia terus aman dan sejahtera. Semoga UMPSA kekal sebagai medan ilmu dan nilai, melahirkan generasi berjiwa merdeka yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga luhur dalam budi dan kepemimpinan.

Saya menyeru seluruh warga UMPSA agar terus menjiwai semangat patriotik, menanam rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air, dan bersama-sama membina Malaysia yang lebih makmur, berdaya saing dan penuh kasih sayang. “Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang berani untuk bergerak seiring dengan arus perubahan.” 

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-68. 

Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

PROFESOR DR. YATIMAH ALIAS
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

29 Ogos 2025

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri