Skip to main content

Prof. Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang kongsi amalan kelestarian dan dunia akademik global

GAMBANG, 27 November 2025 - Tokoh Akademik dan penerima Tokoh Kejuruteraan Negara 2025, Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang bertemu warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini dalam Majlis Perkongsian 100 Days World Lecture Tour bersempena dengan Bengkel Pemerkasaan Sistem Penasihatan Akademik UMPSA. 

Program yang berlangsung di Dewan Astaka UMPSA Kampus Gambang itu menghimpunkan warga akademik, pengurusan tertinggi dan pelajar bagi mendengar pengalaman global beliau menjelajah 15 buah negara dalam tempoh 100 hari.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur kerana majlis dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mengalu-alukan kehadiran Profesor  Emeritus Dato’ Seri Ir Dr. Zaini, yang disifatkan sebagai tokoh akademia berpengalaman luas dalam dunia pendidikan tinggi dan pentadbiran negara. 

“Tahniah kepada Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini atas penganugerahan Profesor Emeritus oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.

Prof. Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang kongsi amalan kelestarian dan dunia akademik global

"Jelajah akademik yang dijalankan Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini dari 16 April hingga 26 Julai lalu adalah bertujuan berkongsi idea mengenai kelestarian alam sekitar, transformasi pendidikan tinggi pascapandemik, isu perubahan iklim dan kepimpinan untuk kesihatan planet. 

"Sepanjang misi tersebut, Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir Dr. Zaini telah melawat 15 negara termasuk Qatar, Arab Saudi, Turkiye, Sweden, Norway, Denmark, Jerman, Switzerland, Perancis, Belgium, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan,” ujarnya.

Malah, menurut Profesor Dr. Yatimah lagi, beliau turut menyampaikan lebih 40 syarahan, bertemu sepuluh orang presiden universiti, melawat lebih 28 masjid serta menghasilkan lebih 40 puisi berdasarkan lokasinya sepanjang pengembaraan.

“Jelajah ilmiah Profesor  Emeritus Dato’ Seri Ir Dr. Zaini amat signifikan kerana ia mengangkat budaya ilmu ke peringkat antarabangsa melalui syarahan, forum, dialog global, media, kolaborasi akademik serta perspektif berbeza mengenai isu sejagat dan penganjuran majlis tersebut seiring dengan pelaksanaan Bengkel Pemerkasaan Sistem Penasihatan Akademik UMPSA. 

"Semoga perkongsian Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir Dr. Zaini imi  mampu memberi inspirasi kepada pensyarah dan penyelidik UMPSA agar terus mengembangkan kepakaran dan jaringan antarabangsa.

"Peranan penasihat akademik kini semakin mencabar berikutan pertambahan bilangan pelajar serta isu pelajar yang lebih kompleks,” katanya. 

Tambahnya lagi, pandangan Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini sebagai tokoh akademia berpengalaman mampu membantu universiti memperkasa sistem penasihatan akademik secara lebih berkesan. 

Prof. Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang kongsi amalan kelestarian dan dunia akademik global

Sementara itu, dalam sesi perkongsian, Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir Dr. Zaini memberikan gambaran menyeluruh mengenai pengembaraannya yang dilaksanakan secara solo dan menjelaskan bahawa setiap negara dilawati dengan jadual padat yang menggabungkan syarahan, lawatan tapak, temu bual media dan pertemuan akademik. 

"Pengembaraan tersebut dilaksanakan menggunakan konsep travel light and fast, dengan hanya membawa keperluan minimum bagi memudahkan pergerakan merentas benua.

"Amalan kelestarian dan produktiviti negara maju, termasuk sistem kerja di Scandinavia yang sangat efektif walaupun jumlah jam bekerja rendah. 

"Di Belanda, kejayaan negara itu menguruskan air sehingga menjadi antara pengeksport pertanian terbesar dunia walaupun keluasan negara terhad," katanya. 

Dalam perkongsian itu, beliau menjelaskan beberapa tema utama syarahannya seperti Ecoshift, Ecosophy, kepimpinan untuk kesihatan planet, pendidikan tinggi dalam ekosistem pascanormal serta tindakan iklim menjelang tahun 2050. 

Beliau turut mengulas perubahan piawaian antarabangsa dalam menilai kebersihan sungai berdasarkan kesesuaian rekreasi atau ‘swimmability’, bukan sekadar ujian kimia, seperti yang dilaksanakan di Perancis dan Amerika Syarikat.

Selain itu, beliau turut menyeru seluruh warga universiti untuk terus membina jaringan ilmu tanpa sempadan, selain menggalakan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan keterbukaan terhadap dunia akademik global.

Prof. Emeritus Dato’ Seri Ir Dr. Zaini menyatakan bahawa siri jelajahnya bukan sahaja membuka ruang kolaborasi baharu tetapi turut memperkukuh pengiktirafan Malaysia sebagai negara yang aktif dalam perbincangan global mengenai kelestarian alam dan pendidikan tinggi. 

Malahan juga beliau turut menyentuh tentang komitmen Qatar, Jepun dan Korea terhadap kesihatan masyarakat sebagai asas kepada kecemerlangan negara.

Pada masa yang sama, beliau juga berkongsi bahawa sebuah buku mengenai keseluruhan perjalanan itu sedang disiapkan untuk diterbitkan tidak lama lagi.

Prof. Emeritus Dato’ Seri Ir Dr. Zaini berharap pendedahan yang diterima mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan UMPSA selaras aspirasi universiti untuk menjadi antara institusi TVET termaju di rantau ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, para dekan dan para pensyarah UMPSA.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Moha Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
AINIEY