Skip to main content

Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dilantik Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) baharu UMPSA

PEKAN, 21 Mei 2026 - Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang baharu berkuat kuasa pada 20 Mei 2026. 

Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan pembangunan program akademik, akreditasi, jaminan kualiti pengajaran dan pembelajaran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasionl (TVET), dasar akademik, pengurusan latihan staf dan pembangunan bakat serta pelaksanaan strategi dalam memperluas jaringan dan pengantarabangsaan universiti ini. 

Profesor Ts. Dr. Kamal merupakan anak kelahiran negeri Terengganu mula berkhidmat di UMPSA sejak 2 Mei 2003 yang pada masa itu dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM). 

Dengan mempunyai pengalaman lebih 23 tahun di universiti ini dan dua tahun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam memberi kelebihan buatnya menerajui bidang akademik, penyelidikan, pengurusan universiti, pembangunan TVET serta pengurusan strategik pendidikan tinggi.

Sepanjang perkhidmatan di universiti, Profesor Ts. Dr. Kamal telah memegang pelbagai jawatan strategik dan pentadbiran universiti, antaranya Penolong Naib Canselor (Strategi Korporat), Penolong Naib Canselor (Pembangunan Akademik), Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik dan Ketua Kluster Penyelidikan Advanced Materials. 

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Latihan dan Pembangunan Kompetensi, Jabatan Pendaftar, Timbalan Pengarah, Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik dan Ketua Program Kejuruteraan Kimia, Fakulti Teknlogi Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli.

 
Pada era awal KUKTEM di bawah kepimpinan Rektornya, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md. Yassin, universiti ini memberi fokus kepada pembentukan asas pendidikan teknikal dan kejuruteraan yang memenuhi keperluan industri negara. 

Ini diperkukuh semasa kepimpinan Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Said Mat Lela. 

Dalam tempoh tersebut, Profesor Ts. Dr. Kamal turut terlibat dalam usaha memperkukuh identiti institusi sebagai universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi.

Kamal Yusof

Penekanan kepada budaya kerja profesional, latihan praktikal dan hubungan rapat dengan industri menjadi asas kepada pembangunan model pendidikan TVET di universiti.

Ketika di era kepimpinan Naib Canselor UMPSA ketiga, Profesor Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim, universiti berkembang lebih agresif sebagai institusi teknologi dan kejuruteraan bertaraf antarabangsa. 

Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh turut menyumbang kepada pengukuhan reputasi universiti melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik termasuk program ijazah dual, mobiliti antarabangsa dan jaringan akademik global. 

Pendekatan ini membuka peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran rentas negara serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor teknologi dan industri global. 

Perkembangan seterusnya di bawah kepimpinan Naib Canselor keempat, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang menyaksikan pengukuhan program akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan teknikal negara. 

Dalam era ini, Profesor Ts. Dr. Kamal memainkan peranan penting dalam memperkasakan agenda kejuruteraan dan TVET melalui pembangunan kurikulum berorientasikan industri, pengukuhan kompetensi graduan serta kerjasama strategik dengan institusi luar negara.

Perkembangan ini diteruskan pada zaman kepimpinan Naib Canselor kelima, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin antara kekuatan utama yang sering dikaitkan adalah terhadap konsep ‘industry-driven’ yang menghubungkan keperluan industri dengan pembelajaran akademik. 

Pendekatan ini selari dengan aspirasi TVET negara yang menekankan kemahiran praktikal, penyelesaian masalah, inovasi dan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar industri atau Work Based Learning (WBL). 

Kini, di bawah kepimpinan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kesinambungan agenda tersebut terus diperkasa menerusi pelan strategik universiti yang memberi fokus kepada pengantarabangsaan, teknologi masa depan, kelestarian dan kecemerlangan TVET Termaju.

Pengalaman panjang Profesor Ts. Dr. Kamal sejak era KUKTEM ini menjadikan beliau antara figura penting dalam memastikan kesinambungan hala tuju universiti dengan berpegang kepada nilai teras universiti atau core values seperti kebersamaan, kecemerlangan, inovasi dan keberhasilan kepada masyarakat serta industri.

Keupayaan beliau menyesuaikan kepimpinan akademik mengikut perubahan zaman turut membantu memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai institusi TVET Termaju terunggul dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan pendidikan berimpak. 

Pengalaman merentasi beberapa era kepimpinan universiti juga membolehkan beliau memahami evolusi keperluan pendidikan tinggi negara, khususnya dalam melahirkan graduan teknikal yang kompeten, adaptif dan berdaya saing di peringkat global.

Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Kamal telah mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Bahan (Nanoteknologi) di Loughborough University, United Kingdom (2010) Sarjana Kejuruteraan Polimer, Universiti Teknologi Malaysia (2004) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (1999). 

Bidang kepakaran beliau merangkumi nanoteknologi, bahan termaju, grafin, kejuruteraan polimer, pedagogi TVET, pembangunan akademik dan jaminan kualiti pendidikan tinggi.

Malahan beliau juga aktif dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah antarabangsa dengan penglibatan lebih 60 penerbitan jurnal berimpak tinggi serta mengetuai pelbagai geran penyelidikan nasional dan antarabangsa. 

Profesor Ts. Dr. Kamal juga aktif dalam pelbagai jawatankuasa dan platform kepimpinan pendidikan tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai pakar rujuk dan juga Profesor pelawat di Karabuk University Turkiye (2019) dan Hebei University China (2025). 

Antara penglibatan utama beliau ialah sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Kualiti Universiti Awam (MPQ-UA), Ahli Jawatankuasa TVET Malaysia–United Kingdom, Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahli pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi 2023–2030, Ahli Jawatankuasa Hala Tuju MTUN 2030 dan Panel Penilai Geran FRGS serta PRGS KPT sejak tahun 2017. 

Beliau juga telah mengikuti pelbagai program pembangunan kepimpinan strategik anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), antaranya DVC Leadership Onboarding Programme (DVCLead) 2023, Strategic Management & Leadership Training 2023, Transformative TVET Leadership 2024 dan Elevating Leadership Instrument & Evaluation Series (ELITE). 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias mengucapkan terima kasih kepada pihak Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir atas pelantikan ini.

Ujarnya, semoga dengan pelantikan ini mampu memperkukuh lagi kecemerlangan akademik dan agenda pengantarabangsaan, transformasi TVET Termaju serta Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 selaras Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

“Saya mengharapkan dengan pelantikan ini dapat memperkukuh agenda akademik dan pengantarabangsaan universiti serta memainkan peranan penting dalam pembangunan agenda pendidikan tinggi negara khususnya berkaitan TVET Termaju. 

“Selain itu, penglibatan Profesor Ts. Dr. Kamal merentasi beberapa era kepimpinan universiti ini memperlihatkan kesinambungan pembangunan dalam bidang TVET, kejuruteraan, teknologi dan pengantarabangsaan ke arah universiti teknologi terunggul,” katanya. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri