Program Self Adaptation bantu pelajar baharu menyesuaikan diri di universiti
PEKAN, 17 Ogos 2024 – Seramai 100 orang pelajar baharu Diploma Sesi 2024/2025 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengikuti Program Self Adaption anjuran Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).
Ia melibatkan penyertaan seramai 53 orang pelajar baharu di UMPSA Kampus Gambang dan 47 orang pelajar di UMPSA Pekan.
Program telah diadakan di Dewan Tun Teja, UMPSA Kampus Gambang pada 10 Ogos 2024 dan Dewan Peperiksaan Mekanikal, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA Pekan pada 17 Ogos 2024.
Menurut Pengarah Pusat Sejahtera yang juga Pegawai Psikologi, Paridah Mohd Ali, program bertujuan membantu pelajar baharu diploma menyesuaikan diri dan memberi pendedahan awal tentang kehidupan di universiti serta menetapkan matlamat yang jelas untuk masa depan akademik mereka.
“Melalui pelbagai aktiviti dan sesi secara kelompok, pelajar didedahkan dengan strategi dan teknik yang dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, serta meningkatkan motivasi untuk mencapai kecemerlangan akademik.
“Objektif utama program ini adalah untuk memastikan para pelajar tidak merasa terasing dan dapat menyesuaikan diri dengan baik di universiti.
“Selain itu, pelajar juga digalakkan untuk menetapkan matlamat peribadi dan akademik yang jelas sebagai panduan sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti.
“Ia diharap dapat memberikan impak positif kepada para pelajar dalam menjalani kehidupan universiti dengan lebih yakin dan bersemangat, sekali gus membantu mereka mencapai kejayaan yang cemerlang di masa hadapan,” ujarnya.
Program selama sehari itu telah dikendalikan oleh Pegawai Psikologi UMPSA dan dibantu staf sokongan Pusat Sejahtera.
Disediakan Oleh: Rahimah Mohamed, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni (JHEPA)
- 126 views