Pusat Bahasa Moden UMPSA dinaik taraf sebagai Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan
PEKAN, 29 Oktober 2026 - Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dinaik taraf sebagai Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan (FPBG), sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam memperkasa pendidikan bahasa dan pengajian bahasa gunaan yang relevan dengan keperluan industri.
Penaiktarafan ini merupakan langkah strategik dalam memperluas peranan universiti bukan sahaja dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, malah dalam melahirkan modal insan yang mempunyai keupayaan komunikasi, penguasaan bahasa dan kompetensi silang budaya yang memenuhi keperluan dunia pekerjaan masa kini.
Usaha ini juga mencerminkan komitmen UMPSA untuk memperluas kecemerlangan akademik dengan memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran bahasa yang lebih dinamik, praktikal dan memenuhi keperluan semasa.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, penaiktarafan ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran mahasiswa, malah membuka peluang lebih luas kepada masyarakat dan industri untuk mendapatkan akses kepada pendidikan, latihan serta pembangunan kompetensi bahasa.
“Dalam era ekonomi digital dan pasaran kerja tanpa sempadan, penguasaan bahasa dan kemahiran komunikasi merupakan antara kompetensi penting yang diperlukan bagi membolehkan seseorang individu berinteraksi, berkongsi kepakaran dan bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kekuatan UMPSA dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan TVET Termaju turut menyediakan landasan strategik untuk mengembangkan pengajian bahasa gunaan yang menggabungkan kemahiran komunikasi dengan pengetahuan teknikal dan keperluan industri,” ujarnya.
Malahan pendekatan ini berpotensi melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, malah mampu menyampaikan idea, berkomunikasi secara profesional dan menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja yang semakin global.
Pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas kelulusan menaik taraf pusat ini kepada FPBG atau Faculty of Apllied Language Studies.
Selain itu, inisiatif VOICES sebagai pusat yang memahirkan komunikasi turut menyediakan ruang pembelajaran bahasa secara tidak formal melalui interaksi sosial dan aktiviti kolaboratif.
Gabungan aktiviti membaca melalui BACAHUB turut menggalakkan pelajar menggunakan bahasa dalam konteks kehidupan seharian di luar bilik kuliah.
Aktiviti ini bukan sahaja memupuk kemahiran komunikasi, malah turut meningkatkan kefahaman antara budaya, pemikiran kritis dan kerjasama dalam kalangan pelajar.
Pada masa yang sama, VOICES mewujudkan persekitaran yang mesra dan inklusif, yang membolehkan pelajar saling belajar serta membina keyakinan untuk menggunakan pelbagai bahasa.
Fakulti ini juga bakal memperluas peranannya sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan pengajian bahasa gunaan melalui penyelidikan, program latihan profesional, pembangunan komuniti serta kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Langkah ini sekali gus memperkukuh aspirasi UMPSA untuk muncul sebagai hab TVET termaju yang mengintegrasikan kecemerlangan teknologi, kejuruteraan, kemahiran insaniah dan kompetensi global dalam melahirkan modal insan masa hadapan.
Sementara itu, Dekan FPBG, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali berkata, satu mesyuarat strategik diadakan baru-baru ini bagi menilai dan memantapkan penawaran akademik fakulti, merancang pembangunan program baharu serta memperkukuh kerjasama dengan pihak industri.
“Pihak fakulti akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan seiring perkembangan teknologi dan perubahan keperluan pasaran kerja.
“Usaha ini turut merangkumi penawaran program Sarjana Sains dalam Pembelajaran Bahasa Berintegrasikan Teknologi (Master of Science in Technology-Integrated Language Learning) secara Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (Open and Distance Learning, ODL), bagi memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran pascasiswazah agar selari dengan keperluan pelajar, perkembangan teknologi dan tuntutan semasa.
“Selain itu, pembangunan laluan pengajian bertindan (stackable degree) dan penawaran sijil pascasiswazah turut diberi perhatian bagi menyediakan laluan pembelajaran yang lebih fleksibel, memenuhi keperluan pembelajaran sepanjang hayat serta meningkatkan kerelevanan program dengan keperluan industri dan pasaran kerja,” ujarnya.
Katanya, ini termasuklah semakan terhadap pembangunan dan pemantapan program pascasiswazah, khususnya membabitkan semakan struktur program dan kursus, kerelevanan kurikulum serta penerapan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Peluang kerjasama strategik dengan industri turut diberi perhatian bagi memperluas jaringan kerjasama dan memastikan program yang dibangunkan memenuhi keperluan semasa sektor pekerjaan.
“Dalam pada itu, aspek kebolehpasaran graduan dan kelestarian program akademik turut menjadi antara perkara yang diberi penekanan bagi memastikan penawaran fakulti terus berdaya saing,” tambahnya.
Usaha berkenaan penting dalam memperkukuh kedudukan FPBG UMPSA sebagai peneraju pendidikan bahasa gunaan yang mampu melahirkan graduan berkemahiran, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.
Turut berlangsung baru-baru ini, Mesyuarat Jawatankuasa Pengajian (SC) dan Panel Penasihat Industri (IAP) Bil. 1/2026 yang berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2026 di UMPSA Kuala Lumpur bagi meneliti pemantapan penawaran kursus bahasa bagi pelajar prasiswazah, termasuk usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran supaya selari dengan keperluan pelajar serta perkembangan semasa.
Melalui perancangan akademik yang strategik dan kerjasama erat dengan pihak industri, fakulti diharap dapat menyediakan laluan pembangunan kompetensi profesional yang bersesuaian dengan tuntutan dunia pekerjaan yang semakin dinamik.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 5 views
Reports by: