Resolusi ke arah pencapaian visi UMP Teknologi Terunggul
Kuala Lumpur, 2 Disember – Buat julung kalinya seramai 80 orang melibatkan barisan ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan pengurusan universiti termasuk dekan, pengarah, ketua jabatan dan pegawai kanan universiti berkumpul dalam program UMP Team Excellence bagi mengumpul idea dan cadangan untuk dijadikan resolusi merealisikan visi UMP sebagai Universiti Teknologi Terunggul yang mampan dari segi kewangan serta bertaraf global.
Program komprehensif anjuran Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti dan Jabatan Pendaftar yang diadakan di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini dirasmikan oleh Pengerusi LPU, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang juga bertindak sebagai Ketua Pemudahcara (Moderator) sepanjang program berlangsung.
Menurutnya, semua peserta berpeluang melontarkan pandangan, cadangan dan komen berkaitan topik yang memfokuskan terhadap Masa Hadapan Cemerlang, Kemampanan Kewangan, Melahirkan Graduan Holistik dan Marketable, Pelaburan Strategik, Pengurusan Termaju dan MyGift.
“Penglibatan program ini juga sebagai medium bagi mengeratkan hubungan serta berkongsi informasi dan perkembangan universiti serta mengenai hala tuju UMP sebagai sebuah Universiti Awam dan sebagai salah satu universiti teknikal (MTUN) bagi menjayakan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT),” katanya
Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim yang juga sebagai Moderator berkata, pelaksanaan program UMP Team Excellence adalah selari dengan fasa Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang kini semakin menghampiri tahun 2019 dan berbaki dua tahun lagi untuk merealisasikan hasrat Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan `Menjana Kegemilangan’.
“Penglibatan hampir semua ahli LPU dalam program ini merupakan satu petunjuk bahawa sokongan dan dokongan barisan LPU ini bagi mencapai visi UMP iaitu Universiti Teknologi Terunggul akan dapat direalisasikan,” ujar beliau.
Bagi ahli LPU, Haji Ahmad Zakie Haji Ahmad Shariff Ahli yang juga bertindak sebagai moderator berkata, terdapat banyak cadangan yang strategik dan bersifat di luar kotak yang boleh dijadikan resolusi bagi pelaksanaan segera untuk memastikan kecemerlangan UMP terus gemilang. Pengisian program ini juga adalah hasil cetusan idea Pengerusi LPU melalui beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan universiti bagi memastikan objektif dan outcome program dapat dicapai.
Program ini turut memberikan peluang secara langsung buat peserta untuk berinteraksi secara terus dengan barisan LPU dan pengurusan tertinggi terutamanya bagi menggarap cadangan dan idea untuk meningkatkan tahap kecemerlangan universiti. Di samping itu juga dapat memberikan peluang kepada ahli LPU untuk mendalami situasi, operasi dan perkembangan terkini universiti.
Disediakan oleh Rohana Othman dari Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti dan Suntingan Bahagian Komunikasi Korporat
- 69 views