Skip to main content

Storyfest UMPSA 2026 semarakkan budaya membaca dan penceritaan kreatif dalam kalangan pelajar Pekan

PEKAN, 6 Ogos 2026 - Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi bekerjasama dengan Perpustakaan Awam Daerah Pekan dalam menjayakan Program Khidmat Komuniti Storyfest 2026 yang memasuki tahun kedua penganjurannya.

Program yang bertujuan memupuk minat membaca dan penceritaan kreatif dalam kalangan pelajar sekolah menengah itu berjaya menghimpunkan seramai 32 peserta daripada 16 buah sekolah di daerah Pekan termasuk Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Ampuan Fatimah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan, SMK Sultan Ahmad, SMK Nenasi, SMK Chini dan SMK Paloh Hinai.

Penganjuran Storyfest 2026 memberi fokus kepada pembangunan kemahiran komunikasi bahasa Inggeris melalui pendekatan penceritaan kreatif yang menyeronokkan dan berimpak tinggi.

Program ini juga bertujuan memupuk minat membaca dan bercerita dalam kalangan pelajar sekolah menengah di daerah Pekan, di samping meningkatkan keyakinan diri, kreativiti dan kemahiran komunikasi peserta melalui seni penceritaan.

Story Fest UMPSA 2026 semarakkan budaya membaca dan penceritaan kreatif dalam kalangan pelajar Pekan

Selain itu, ia turut menyediakan platform kepada pelajar untuk mengekspresikan imaginasi dan idea mereka dalam suasana pembelajaran yang kondusif serta mengukuhkan hubungan kerjasama antara UMPSA, Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dan sekolah-sekolah di daerah Pekan.

Program dimulakan dengan sesi suai kenal bagi membantu peserta membina keyakinan dan berinteraksi dengan rakan-rakan daripada sekolah yang berbeza sebelum mengikuti tiga siri bengkel bimbingan yang dijalankan selama tiga minggu.

Bengkel tersebut memberi penekanan kepada aspek lontaran suara, ekspresi, penghayatan watak dan struktur naratif sebagai persediaan menghadapi pertandingan akhir. 

Program ini bermula dengan bengkel suai kenal pada bulan Jun, diikuti tiga sesi kelas bimbingan yang dijalankan pada setiap hari Jumaat sebelum kemuncaknya menerusi pertandingan bercerita bahasa Inggeris peringkat daerah.
Keunikan Story Fest 2026 terletak pada penggunaan profil pembelajaran yang dibangunkan oleh tenaga pengajar UMPSA bagi memantau perkembangan setiap peserta sepanjang tempoh latihan dan bengkel dijalankan.

Dalam pertandingan tersebut, para peserta dikehendaki menghasilkan dan mempersembahkan cerita asli berdasarkan tema yang diberikan seperti ‘The Day I Woke Up With a Superpower’ dan ‘My Adventure in A Magical World’, sekali gus mencabar kreativiti mereka untuk menghidupkan imaginasi melalui penceritaan.

Salah seorang peserta, Muhammad Alif Fitri Mohd Faizul Amin dari SMK Sultan Ahmad berkata, penyertaannya dalam Story Fest 2026 telah memberikan pengalaman yang sangat bermakna.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan seperti ini dan saya berasa sangat gementar pada mulanya. 

“Namun, dengan bimbingan tenaga pengajar UMPSA dan guru saya, Cikgu Nuradwa Insyirah, saya berjaya memberikan yang terbaik.

“Saya juga dapat mengenali ramai rakan baharu daripada sekolah lain dan sangat menikmati setiap bengkel yang dijalankan. 

“Jika diberi peluang, saya pasti ingin menyertai program ini lagi pada tahun hadapan,” katanya.

Menurut Ketua Hakim pertandingan, Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, para peserta berjaya mempamerkan kreativiti yang tinggi menerusi jalan cerita yang menarik serta keberanian untuk tampil dan berkomunikasi di hadapan khalayak.

“Keupayaan peserta menyampaikan idea secara tersusun dan yakin membuktikan bahawa program seperti Story Fest mampu menjadi platform yang efektif dalam membangunkan kemahiran komunikasi serta pemikiran kreatif pelajar,” ujarnya.

Majlis Penutupan Story Fest 2026 telah disempurnakan oleh wakil rasmi Yang Dihormati Orang Kaya Indera Shahbandar Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan Awam Daerah Pekan, Yang Mulia Tengku Dato' Ahmad Ashraf Tengku Dato' Sri Asmawi.

Turut hadir Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Maria Hamzah dan Dekan Pusat Bahasa Moden (PBM) UMPSA, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali.

Story Fest UMPSA 2026 semarakkan budaya membaca dan penceritaan kreatif dalam kalangan pelajar Pekan

Dalam ucapan perasmiannya, Yang Mulia Tengku Dato' Ahmad Ashraf Tengku Dato' Sri Asmawi menyifatkan Story Fest sebagai platform yang membuka ruang kepada generasi muda untuk berani bersuara, berfikir secara kreatif, menyampaikan idea dengan yakin dan membina keyakinan diri melalui seni penceritaan.

Menurutnya, kemahiran tersebut amat penting dalam melahirkan generasi masa hadapan yang mampu bersaing di peringkat global.

Beliau turut menegaskan bahawa program itu selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing melalui pendidikan berkualiti.

Katanya lagi, peningkatan penyertaan kepada 16 buah sekolah berbanding 12 buah sekolah pada tahun lalu membuktikan bahawa Story Fest semakin mendapat sambutan dan berpotensi menjadi program ikonik tahunan yang mampu memperkukuh literasi bahasa, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri pelajar.

Sementara itu, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata, Story Fest 2026 mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperluas akses pendidikan bahasa dan komunikasi kepada komuniti, khususnya golongan pelajar sekolah.

“Story Fest bukan sekadar pertandingan bercerita, tetapi sebuah platform yang memberi ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kreativiti, membina keyakinan diri serta meningkatkan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Melalui penceritaan, pelajar belajar menyampaikan idea secara berkesan, berfikir secara kritis dan berani menonjolkan potensi diri.

“UMPSA percaya bahawa pembangunan modal insan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.  

“Justeru, program seperti ini menjadi jambatan yang menghubungkan universiti dengan komuniti dalam usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan mampu beradaptasi dalam persekitaran global yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau turut berharap Story Fest akan terus berkembang sebagai program ikonik jangkauan komuniti UMPSA yang mampu menyemarakkan budaya membaca, penceritaan kreatif dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negeri Pahang, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus menjadi MTUN Pilihan No. 1.

Program yang dianjurkan oleh PBM UMPSA dengan kerjasama PPAP itu turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah Pekan dan Jabatan Agama Islam Pahang.

Program ini dipimpin oleh Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi selaku Penasihat dan Ketua Projek, manakala Alia Najaa Md Noor bertindak sebagai Penyelaras Program. 

Ketua Perpustakaan Awam Daerah Pekan, Nor Karmila Mahmud turut memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran program tersebut.

UMPSA dan Perpustakaan Awam Daerah Pekan merakamkan penghargaan kepada semua guru pengiring, penyelaras dan pelajar daripada sekolah-sekolah yang terlibat atas komitmen serta sokongan yang diberikan dalam menjayakan Story Fest 2026 dan berharap kerjasama strategik ini akan terus berkembang demi manfaat generasi muda pada masa hadapan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat dan Wan Noor Farah Wan Shamsuddin, Pusat Bahasa Moden

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri