Skip to main content

Sumbangan kelengkapan sekolah buat 103 anak staf UMP

KUANTAN, 24 Mac 2022 – Menerima kelengkapan persekolahan baharu memberi semangat buat anak-anak melangkah ke sekolah setelah berdepan dengan situasi pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu.

Baru-baru ini, seramai 103 orang anak staf UMP menerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah sempena program Kembali Ke Sekolah (Back To School) anjuran Yayasan UMP dan Jabatan Pendaftar yang diadakan di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Kampus Gambang.

Sesi penyerahan dihadiri oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin diiringi Pemangku Pendaftar, Hazmin Aris, Presiden Persatuan Wanita UMP, Datin Dr. Mazita Mokhtar dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.

Menurut Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, program Back to School ini merupakan penganjuran kali keenam bagi meringankan beban staf yang berkeperluan.

“Program sebegini juga merupakan satu program amal komuniti tahunan yang bertujuan untuk membantu persediaan para pelajar untuk kembali ke sekolah dengan menyasarkan golongan yang memerlukan terutamanya dari kawasan luar Bandar.

Sumbangan kelengkapan sekolah buat 103 anak staf UMP

“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan kos perbelanjaan persekolahan bagi staf yang kurang berkemampuan. 

“Setiap anak-anak menerima sepasang pakaian, beg dan kasut sekolah serta peralatan alat tulis,” ujarnya. 

Pihaknya juga mengucapkan terima kasih atas sumbangan daripada syarikat korporat dan agensi seperti Perodua, Alha Alfa, Persatuan Wanita UMP (Matahari), UMP Holdings serta UMP Advanced terutamanya melalui pengumpulan dana hasil inisiatif program Tok Gajah Virtual Challenge yang diadakan pada tahun lalu.  

Pada masa yang sama, program turut berlangsung di UMP Pekan dengan dihadiri oleh Pengurus Kanan, Pejabat Naib Canselor, Abd Rahman Haji Safie.

Bagi salah seorang penerima yang merupakan pemandu UMP, Nur Azamuddin Mat Yasin, 33 bersyukur apabila anaknya terpilih menerima sumbangan ini.

“Alhamdulillah, sumbangan ini dapat meringankan kos perbelanjaan persekolahan anak-anak. 

“Tambahan pula isteri saya merupakan suri rumah sepenuh masa. 

“Terima kasih UMP yang sentiasa cakna dengan keadaan staf yang memerlukan,” katanya.

Begitu juga dengan anaknya, Qurratu Ainin turut melahirkan rasa gembira apabila dapat pakaian persekolahan yang baharu dan tidak sabar untuk ke sekolah pada setiap hari.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris