Syarahan Umum Prof. Ts. Dr. Zularisam kongsi kepakaran rawatan air menggunakan teknologi mampan membran
GAMBANG, 7 Jun 2024 - Sumber air yang bersih merupakan keperluan paling asas bagi manusia dalam menjalani kehidupan seharian.
Namun demikian terdapat komuniti di kawasan luar bandar mungkin tidak selalu mendapat sumber air yang bersih atas pelbagai faktor seperti pencemaran dan kekurangan kemudahan bagi mendapatkan air bersih dan terawat.
Berlangsung baru-baru ini, Majlis Syarahan Umum Profesor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang telah disampaikan oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Zularisam Ab Wahid dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) yang bertajuk ‘Rawatan Air Menggunakan Teknologi Mampan Membran’.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Ir. Dr. Haji Fadzil Mat Yahaya.
Menurut Profesor Dato’ Ts Yuserrie, majlis syarahan umum ini adalah bertujuan untuk berkongsi hasil penyelidikan dalam pembangunan kelestarian negara serta bidang lain yang berkaitan dan memperkenalkan ketokohan professor.
“Di samping itu juga ia sebagai platform perkongsian ilmu ke arah melahirkan lebih ramai cendekiawan bagi menyemarakkan lagi dunia akademia negara.
“UMPSA mempunyai ramai profesor yang pakar dalam pelbagai bidang dan ilmu yang dimiliki ini harus dikongsi serta dimanfaatkan buat masyarakat.
“Selain itu juga, ia mampu untuk meningkatkan ternampakan peranan UMPSA dalam bidang intelektual dalam usaha untuk memberi kesan kepada komuniti, teknologi, ekonomi dan masyarakat,” katanya.
Ujarnya, ini selaras dengan hasrat UMPSA dalam mengangkat agenda menerusi slogan UMPSA iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’ yang menjalankan penyelidikan serta hasilnya adalah jawapan kepada pelbagai masalah dihadapi masyarakat dan industri kini.
Pada masa yang sama, beliau turut melancarkan gimik pelancaran buku yang bertajuk ‘Rawatan Air Menggunakan Teknologi Mampan Membran’.
Majlis Syarahan Umum Profesor itu adalah anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) dengan FTKA.
Turut hadir Penghulu Mukim Ulu Lepar, Noor Jamaan Abd Rahman.
Majlis Syarahan Umum itu yang diadakan di Dewan Astaka UMPSA Kampus Gambang turut dimeriahkan dengan kehadiran para pelajar dari Sekolah Kebangsaan Gambang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).
Lebih 300 mahasiswa dan mahasiswi, staf UMPSA serta pelajar sekolah telah hadir ke majlis itu.
Disediakan Oleh: Nor Azlin Mohd. Azman, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam
- 99 views