Skip to main content

Telaah: Minhaj Al-‘Abidin cetus gelombang baharu budaya ilmu

PEKAN, 26 November 2025 – Program Telaah: Minhaj Al-’Abidin anjuran Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berlangsung dengan jayanya di Auditorium Perpustakaan UMPSA, Pekan baru-baru ini. 

Program itu berjaya menarik lebih 150 peserta yang terdiri daripada warga kampus, komuniti sekitar dan jabatan kerajaan negeri.

Kehadiran Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai panel jemputan dan moderator Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMPSA, Profesor Dr. Hasan Ahmad, berjaya menghidupkan sesi kupasan kitab Minhaj Al-‘Abidin karya Imam Al-Ghazali iaitu sebuah karya agung yang sarat dengan hikmah serta pengajaran.

Telaah: Minhaj Al-‘Abidin cetus gelombang baharu budaya ilmu

Ia diadakan selari dengan aspirasi Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menekankan kepentingan membaca dan wacana ilmu sebagai asas masyarakat berbudaya tinggi. 

Untuk rekod, program Telaah telah dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mempromosi budaya membaca dan perbincangan ilmu melalui format audio siar.

Telaah: Minhaj Al-’Abidin memberi pendedahan mendalam terhadap kitab Minhaj Al-‘Abidin karya Imam Al-Ghazali, yang diterjemah dan dikomentar oleh Dato’ Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sendiri. 

Fokus diberikan kepada perjalanan kerohanian seorang hamba serta cabaran mencapai keikhlasan dan ketakwaan dalam kehidupan seharian.

Menurut Ketua Pustakawan UMPSA, Hajah Kamariah Gono, ia merupakan program membedah kandungan buku-buku pemikiran, falsafah, dasar awam dan pembangunan ilmu sebagai usaha untuk menyuburkan budaya keilmuan dan menjadi platform interaksi antara pemikir, ilmuan dan masyarakat melalui dialog kritis dan membina.

Telaah: Minhaj Al-‘Abidin cetus gelombang baharu budaya ilmu

“Telaah: Minhaj Al-’Abidin ialah jambatan antara karya lama dan kefahaman masyarakat hari ini dan apabila kita membaca secara mendalam, kita tidak hanya mencari ilmu, tetapi membentuk keperibadian yang lebih baik.

“Kami berharap program ini terus digerakkan sebagai platform utama untuk memperkukuh budaya ilmu dan minat membaca dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat setempat. 

”Dengan sokongan padu semua pihak, kami yakin Telaah mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdas ilmu, tetapi juga berjiwa kental dan berdaya saing,” ujarnya.
Program tersebut turut memberi inspirasi kepada para peserta termasuk Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran, UMPSA, Dr. Noorlin Mohd Ali yang berasa beruntung dan bertuah berada di dalam majlis ilmu bersama seorang mufti dan ilmuan.

“Perwatakan Dato’ Seri menunjukkan beliau merupakan seorang ilmuan dan mempunyai ingatan yang kuat kerana mampu memberi penjelasan dalam pelbagai cabang ilmu.

"Program ini sangat baik dan ia merupakan satu kaedah yang bagus untuk menggalakkan kita membaca dan membeli buku,” ujarnya.

#Telaah: Minhaj Al-Abidin turut disiarkan secara dalam talian melalui facebook Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan YouTube UMPSATV.

Disediakan Oleh: Noorul Farina Arifin, Perpustakaan UMPSA
 

Reports by:
AINIEY