UMP dan Kerajaan Negeri Pahang rancang bincang keberhasilan kajian
Pekan, 18 Jun 2020 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Kerajaan Negeri Pahang bakal mengadakan perbincangan meja bulat bagi membincangkan keberhasilan kajian, penganjuran forum berterusan termasuklah isu berkaitan pengangkutan awam dan perihal teknologi dalam memudah cara urusan masyarakat setempat terutamanya membabitkan komuniti di negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, tidak dapat dinafikan kewujudan UMP memberikan impak kepada negeri Pahang.
“Namun kita perlu dekatkan lagi jurang antara universiti, industri dan masyarakat serta menjadikan ia suatu peluang berkolaborasi.
“Wujudkan joint community berterusan bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar, air dan inovasi dalam masyarakat.
“Kajian kebolehpasaran graduan perlu dijalankan dalam memastikan pendidikan yang diberikan memberikan impak sosial dan mengenal pasti graduan yang dihasilkan dapat menyumbang kepada pembangunan di negeri ini.
“Kita juga mempunyai data yang boleh dikongsikan sebagai kajian oleh universiti ini,” katanya yang hadir berkunjung ke UMP Pekan baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, lebih banyak kajian strategik perlu dijalankan terutamanya usaha menangani pengangguran, kebolehpasaran graduan, isu sosial, ekonomi dan taraf hidup penduduk luar bandar.
“Sebagai usaha membantu usahawan, kerajaan negeri juga mengalu-alukan kepakaran teknologi dalam menyediakan pelantar atau pusat rujukan yang boleh mengumpulkan semua maklumat usahawan,” ujar beliau.
“Selain itu, bertepatan pada masanya, Kerajaan Negeri Pahang uga menyokong cadangan universiti dalam usaha menubuhkan Institut Kajian Strategik Negeri Pahang agar dapat menyumbang terhadap pembangunan di negeri ini,” katanya.
Bagi Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, perbincangan perlu dijalankan segera memandangkan UMP mempunyai kepakaran yang boleh digerakkan sama ada dalam jangka masa pendek dan untuk suatu jangka masa panjang.
Beliau turut mengharapkan agar jaringan kolaborasi ini dapat meningkatkan libat sama UMP dengan pihak Kerajaan Negeri Pahang.
Turut sama hadir dalam sesi pertemuan ini adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Dekan Pengkomersialan, Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Haron dan Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.
Dalam pada itu, pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mengiktiraf Kuantan sebagai antara sepuluh bandar paling bahagia bagi tahun 2019 juga membanggakan dan sebagai suatu tarikan pengunjung ke negeri ini.
Kajian dibuat berdasarkan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi tahap kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.
Indeks kebahagiaan merupakan salah satu indikator yang dinilai melalui borang soal selidik kepada penduduk yang merangkumi 14 komponen utama antaranya tahap kehidupan dan kesihatan, keseronokan bekerja, pengurusan kewangan, hubungan dengan jiran, aktiviti bersama komuniti dan lain-lain.
- 174 views