UMP, Dapur Infaq jalin kerjasama pembangunan prasarana digital untuk manfaat komuniti
KUANTAN, 6 April 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan (Dapur Infaq) buat julung kalinya menjalinkan kerjasama dalam pembangunan aplikasi digital yang bakal memanfaatkan komuniti setempat.
Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua pihak itu turut memberi peluang buat staf dan mahasiswa Fakulti Komputeran (FK) untuk menyumbang kepakaran dalam pembangunan dan penyelidikan termasuk bagi program Dapur Infaq–Community Train The Trainer.
Dalam majlis itu, Timbalan Pengarah, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani hadir mewakili Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff bagi simbolik menandatangani dokumen MoU bersama Pengerusi Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan, Nor Hamizi Jamaluddin sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Beliau hadir mewakili Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut berlangsung ialah Majlis Perasmian Dapur Infaq Central Kitchen oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza.
Menerusi kerjasama ini, UMP akan melaksanakan kajian dan penyelidikan bagi aplikasi digital pengurusan perkhidmatan infaq komuniti.
Selain itu, kerjasama ini turut memberi peluang staf UMP sebagai pakar rujuk dan perunding kepada projek pemerkasaan digital Dapur Infaq–Komuniti.
Menurut Profesor Madya Dr. Saiful Anwar, kerjasama ini termasuklah penganjuran persidangan, seminar atau ceramah tentang perkhidmatan digital masyarakat atau yang berkaitan termasuklah sebagai rakan strategik dalam kerja-kerja pembangunan aplikasi Dapur Infaq–Community Services yang akan dimanfaatkan oleh komuniti setempat.
“Pada masa yang sama kolaborasi ini juga akan menghasilkan graduan holistik yang dipacu bersama komuniti melalui program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) aras tinggi dan mengupayakan kebolehan teknologi untuk komuniti,” katanya.
Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza turut mengumumkan pihak Kerajaan Negeri Pahang berbesar hati untuk menyumbang sebanyak RM30,000 kepada Dapur Infaq bagi aktiviti sepanjang Ramadan.
Turut sama hadir Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran, Dr. Rozlina Mohamed, Dr. Jamaludin Sallim, wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, pihak persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Pahang.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 152 views