UMP Kongsi Kepakaran terbit Jurnal Berimpak Tinggi
Penganjuran bengkel Pengurusan Jurnal: Ke arah Pengindeksan SCOPUS dan ISI oleh Penerbit UMP dihadiri lebih 30 peserta yang terdiri daripada editor jurnal Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini disampaikan oleh Editor International Journal of Automotive and Mechanical Engineering (IJAME), Profesor Dr. Mustafizur Rahman dan Journal of Mechanical Engineering , Dr.Muhamad Mat Noor, di Dewan Tun Fatimah, di sini.
Pengarah Penerbitan, Profesor Madya Dr. Mohd Ghani bin Awang berkata, objektif bengkel tersebut adalah untuk membantu editor jurnal MTUN untuk diindeks SCOPUS dan ISI dalam tempoh lima tahun. Katanya, bengkel tersebut adalah siri pertama yang diadakan pada tahun ini melibatkan editor jurnal dan siri kedua juga akan diadakan sekitar Julai ini namun lebih memfokuskan kepada penulisan artikel di dalam jurnal berimpak tinggi.
“Selain itu, bengkel usaha sama dengan MTUN ini juga dapat menjadi medan perbincangan antara editor jurnal dalam memantapkan lagi penerbitan jurnal di kalangan universiti teknikal,” katanya. Peserta dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Dr.Wan Sallha Yusoff berkata, input kursus tersebut amat bagus untuk editor jurnal terutamanya yang masih memerlukan bimbingan dalam pengurusan jurnal.
“Pengurusan jurnal bukanlah sesuatu yang mudah kerana penerbitan jurnal perlu sentiasa dipatuhi dan amat memerlukan komitmen yang tinggi dari setiap ahli pasukan. Jika tidak, jurnal yang dihasilkan pastinya menemui kegagalan,” katanya.
Disediakan oleh Shalfarina Shahriman dari Penerbit UMP
- 65 views