Skip to main content

UMP laksana Sistem Telekomunikasi Digital Umum Talian Baharu mulai 1 Februari depan

PEKAN, 13 Januari  2022 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan menggunakan talian baharu dengan pangkal 09-431 XXXX bagi menggantikan nombor talian 09-549 XXXX dan 09-424 XXXX secara keseluruhan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2022. 
Bagi nombor talian umum UMP, ia akan menggunakan 09-431 5000 manakala talian kecemasan adalah 09-431 6999.

Pertukaran ini lanjutan daripada usaha menaik taraf sistem komunikasi universiti menggunakan Cloud Communication bagi menghubungkan semua warganya dengan lebih interaktif dan mudah terutamanya ketika  berada di luar kawasan organisasi.

Menurut Irman Khalil yang menjalankan fungsi Pengarah/Ketua Pegawai Maklumat Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK), pelaksanaan ini seiring dengan Pelan ICT25 UMP bagi memastikan sistem komunikasi UMP berada dalam tahap memuaskan dan cekap dalam penyampaian perkhidmatan.

Cloud Communication merupakan platform sistem telekomunikasi digital yang digunakan sebagai medium telekomunikasi rasmi UMP. 

“Sistem ini menggantikan sistem sedia ada yang telah lama digunakan hingga memerlukan kos penyelenggaraan tahunan yang tinggi bagi memastikan sistem ini kekal berfungsi.

“Perancangan dalam menaik taraf sistem komunikasi ini merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 dalam menyokong usaha sektor awam ke arah pendigitalan” katanya.  

Tambahnya, pada masa yang sama, ia juga selaras dengan Pelan Strategik UMP (UMP25) bagi objektif dalam Kecemerlangan Ekosistem Universiti.

Manakala menurut Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Shahrol Azmi Amzat, setiap staf telah diperuntukkan dengan satu talian dalam pelaksanaan tugasan rasmi.

“Kelebihan sistem ini bukan sahaja berfungsi sebagai panggilan suara malah ia juga dapat digunakan sebagai panggilan video dan menghantar mesej teks.

“Memandangkan sistem ini menggunakan sambungan internet, justeru penggunaannya dapat digunakan walaupun staf berada di luar negara. 

“Selain menjimatkan kos, sistem ini juga dilengkapi dengan sistem carian nombor telefon staf dengan lebih mudah dengan hanya memasukkan nama staf tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, aplikasi ini lebih mudah dibawa ke mana-mana sekali gus memudahkan komunikasi staf walaupun berada di luar kawasan pejabat.

Katanya, dalam sistem ini, setiap staf telah diperuntukkan dengan satu akaun dan aplikasi ini boleh dipasang di lima peranti sama ada telefon bimbit, komputer atau tablet.

“Justeru, staf hanya perlu daftar masuk (login) dalam aplikasi dengan menggunakan akaun yang telah ditetapkan. 
“Setiap staf juga akan menerima nombor sambungan baharu yang akan diguna pakai sepanjang tempoh perkhidmatan di universiti.

“Kini, pihak PTMK dalam usaha memberi penerangan dan maklumat kepada semua warga kampus sebelum pelaksanaan sepenuhnya pada 1 Februari ini,” katanya. 

Sekiranya staf masih mempunyai masalah terhadap sistem ini boleh merujuk ke PTMK atau bagi yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi petugas PTMK menerusi e-mel  helpdesk@ump.edu.my.  

Rujukan talian baharu https://directory.ump.edu.my/

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri