UMP lancar 8 Kempen Inisiatif Kelestarian Kampus
PEKAN, 23 Februari 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan lapan Kempen Inisiatif Kelestarian bagi meningkatkan kesedaran warga untuk menjaga alam sekitar seiring merealisasikan hasrat universiti ke arah Kampus Lestari.
Pelancaran telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dengan acara simbolik menandatangani poster Kempen Inisiatif Kelestarian sempena Majlis Amanat Naib Canselor 2023 di Dewan Serbaguna UMP Pekan baru-baru ini.
Turut serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang juga menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Penolong Naib Canselor (Pusal Hal Ehwal Korporat dan Kualiti), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dan pengurusan tertinggi UMP.
Dalam ucapannya Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie menyeru agar warga UMP berusaha untuk memperkenalkan teknologi dan amalan kelestarian kepada masyarakat, bukan sahaja mendidik malah menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip-prinsip kelestarian.
“UMP kini telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha memperkasakan amalan lestari melalui pelbagai program universiti yang dilaksanakan.
“Dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Kampus Lestari dalam Rancangan 5C(2), UMP telah berjaya mencapai sasaran kemajuan pembangunan kampus lestari sebanyak 83.84 peratus pada Suku Keempat (Q4) 2022, melebihi sasaran sebelumnya iaitu 74 peratus.
“Ini menunjukkan komitmen UMP dalam membangunan kampus yang lestari dan mampan,” katanya.
Justeru pada tahun 2023, Inisiatif Kampus Lestari akan dirancakkan lagi dengan pelbagai aktiviti seperti penanaman pokok, penjimatan tenaga dan sumber serta pengurangan karbon di dalam UMP.
Inisiatif ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG 7).
Lapan Kempen Inisiatif Kelestarian adalah terdiri daripada Hidrat: Minum Air Kosong dan Bawa Botol Air Sendiri, Jom Tapau: Bawa Bekas Sendiri, Hijaukan Alam Sekitar, Hari Kitar Semula UMP: Mengurangkan Pembaziran, Satu Langkah Pada Satu Masa dan Gaya Hidup Sihat: Pilih Kesejahteraan Setiap Hari.
Manakala tiga lagi inisiaitif iaitu Pengasingan Sisa Organik: Pengkomposan untuk Masa Depan Lebih Hijau, Go Hijau: Tukar Sisa Anda Menjadi Sumber Mampan, Kenderaan Bebas Karbon: Amalan Lestari di Jalan Raya.
Beliau berharap agar warga UMP terus bekerjasama dan sentiasa bekerja keras dalam memperkasakan budaya amalan lestari di universiti bagi melindungi alam sekitar serta menyumbang kepada pembangunan yang mampan.
Selain itu, setiap warga UMP juga perlu memberikan sepenuh komitmen dan sumbangan dalam mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti seharian serta menggunakan sumber secara optimum tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang.
UMP tersenarai pada kedudukan ke-103 terbaik dunia dalam Penarafan UI-Green Metric World University Ranking 2022, berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau serta pengurusan alam sekitar.
Penarafan kelestarian lain termasuklah 2023 QS World University Rankings Sustainability (403-450) dan 2022 Times Higher Education (THE) Impact Rankings (301-400).
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 543 views