Skip to main content

UMP rai sukarelawan tonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

KUANTAN, 20 Julai 2022 - Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Program Menghayati Tamadun Pahang bagi meraikan seramai 150 pelajar, staf, sukarelawan KILAU UMP dan pengamal media dengan menonton filem Tayangan Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di East Coast Mall.

Usaha itu juga bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dan hubungan baik antara pengurusan universiti dengan pelajar, staf dan komuniti serta menyuntik semangat kepahlawanan dalam diri. 

Filem ini membariskan pelakon hebat tanah air antaranya Adi Putra, Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa’ri dan Wan Hanafi Su. 

Ia mengisahkan tentang seorang pahlawan Melayu, Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit melawan juga menentang penjajahan British.

UMP rai sukarelawan tonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

Hadir dalam program Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pendaftar UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim. 

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, kisah ini membawa pengajaran buat anak-anak muda untuk menghayati perjuangan pahlawan kita yang hanya menggunakan senjata keris namun menggunakan kebijaksanaan mampu menentang penjajah.

“Pastinya kisah perjuangan mereka menjadi landasan buat generasi muda hari ini untuk terus berjuang dan berbuat baik serta menyumbang kepada masyarakat,” katanya. 

Beliau mengharapkan sukarelawan UMP KILAU yang pada masa ini seramai 1,500 ahli dapat membantu masyarakat tatlaka ditimpa bencana dan musibah bukan sahaja di negeri Pahang malah di mana sahaja berada sesuai dengan maksud KILAU iaitu Kreatif, Inovasi, Lestari, Agresif dan Universal. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit