Skip to main content

UMPSA anjur program ‘Dari Kedai ke Skrin’ memperkasakan usahawan Kuantan melalui pemasaran digital

GAMBANG, 13 Jun 2026 – Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti berteraskan komuniti menerusi pelaksanaan Program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bagi kursus Retailing (BPE4833) melalui program ‘Dari Kedai ke Skrin: Program Pemasaran Digital bagi Usahawan Kuantan’.  

Program ini telah diselaraskan oleh Pensyarah Kanan FPI, Dr. Suhaidah Hussain dan melibatkan seramai 35 orang pelajar, lima orang usahawan kecil sederhana sekitar Kuantan dan dua orang pensyarah FPI, Dr. Nur Sofia Nabila Alimin sebagai penceramah jemputan dan Dr. Khairunnisa Abdul Aziz sebagai fasilitator. 

Program in dijalankan pada 13 Jun 2026 bertempat di Dewan Tun Fatimah, UMPSA Kampus Gambang.  

Program bermula dengan perkongsian daripada Dr. Nur Sofia Nabila Alimin menerusi tajuk ‘Teknik Pemasaran Digital yang Efektif’. 

Pada hari tersebut, usahawan kecil sederhana yang terlibat adalah AD Syaqir Enterprise, Julie Global Empire, Mama Midah Enterprise, Kilauan Hijrah Enterprise dan Ayam Goreng Cinta.

Menurut Dr. Suhaidah, program ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar dalam mengenal pasti isu berkaitan pemasaran digital dalam kalangan usahawan kecil sederhana. 

“Pelajar juga perlu membangunkan material pemasaran digital yang bersesuaian untuk digunakan di pelbagai platform seperti media sosial.  

“Malah, pelajar juga perlu memuat naik material pemasaran digital dan perlu dikongsi di platform media sosial yang juga dibangunkan oleh pelajar. 

“Pendekatan SULAM berasaskan penyelidikan yang dilaksanakan bukan sahaja memperkukuh pemahaman dan penguasaan akademik pelajar, malah turut meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi profesional, kerja berpasukan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah serta kepimpinan yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan dan masyarakat,” ujarnya. 

Pihak usahawan sangat berpuas hati dengan pembentangan yang telah dikongsi oleh pelajar dan cadangan yang diberikan mampu meningkatkan visibility dan engagement syarikat melalui pemasaran digital yang berkesan.  

Program ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA, khususnya FPI dalam melaksanakan pembelajaran berimpak tinggi yang menghubungkan universiti dan usahawan secara strategik, selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Disediakan Oleh: Dr. Suhaidah Hussain, Fakulti Pengurusan Industri

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri