Skip to main content

UMPSA anjur Seminar Kaedah Latihan dalam TVET dan Kaedah Pengajaran TVET Inovatif

PEKAN, 9 September 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Colombo Plan Staff College (CPSC) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Seminar Kaedah Latihan dalam TVET dan Kaedah Pengajaran TVET Inovatif bermula 9 hingga 13 September 2024 di Dewan Bankuet, UMPSA Pekan. 

Seminar lima hari itu merupakan satu pencapaian penting dalam memajukan wacana mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, KPT, Datin Noorazah Omar yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah UMPSA.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Ketua Pengarah, Colombo Plan Staff College (CPSC), Dr. Suresh Kumar Dhameja, Perunding Fakulti Lembaga Pengurusan (CPSC), Dr. Kesavan Ulganathen dan Pengarah Pusat TVET Termaju, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani.

Menurut Datin Noorazah, seminar ini bertemakan transformasi TVET melalui Competency-Based Training (CBT) dengan pendekatan menekankan komitmen untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan kompetensi yang tepat yang diperlukan oleh tenaga kerja dinamik hari ini.

UMPSA anjur Seminar Kaedah Latihan dalam TVET dan Kaedah Pengajaran TVET Inovatif

“Sepanjang program ini berlangsung, kami akan mendalami dan membincangkan kertas kerja berpandukan tema transformasi TVET melalui Competency-Based Training (CBT), bengkel interaktif dan forum yang bertujuan untuk memupuk pembelajaran kolaboratif dan inovasi dalam metodologi TVET.

“Adalah penting untuk menyelaraskan usaha kami dengan agenda nasional yang lebih luas yang ditetapkan oleh Dasar TVET Negara 2030 dan rangka dasar visi ini bertujuan untuk mengubah pendidikan teknikal dan vokasional Malaysia, mewujudkan tenaga kerja yang mahir, berdaya tahan, dan kompetitif di peringkat global yang memenuhi kehendak industri dan mendorong pertumbuhan ekonomi.

“UMPSA melalui Pusat TVET Termaju telah memainkan peranan utama dalam menerajui program TVET yang lebih tinggi,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, sebagai pemangkin untuk merealisasikan agenda TVET yang lebih tinggi, Pusat TVET Termaju memberi fokus kepada penetapan piawaian penting dalam pendidikan TVET dan memastikan graduan kami bersedia untuk memenuhi kehendak industri serta menyumbang secara berkesan dalam pasaran global,” katanya.

Manakala menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, peranan UMPSA dalam pendidikan TVET termaju adalah menyeluruh di mana universiti bertekad untuk membangunkan program akademik termaju yang bukan sahaja memenuhi piawaian industri tetapi juga menjangkakan keperluan masa depan.

UMPSA anjur Seminar Kaedah Latihan dalam TVET dan Kaedah Pengajaran TVET Inovatif

“Pendekatan kami di UMPSA adalah holistik dan sentiasa memberikan tumpuan kepada kedua-dua kemahiran teknikal yang penting di pasaran kerja hari ini kerana kemahiran insaniah amat diperlukan untuk kepimpinan dan inovasi. 

“UMPSA sentiasa melengkapkan para pelajarnya dengan kompetensi ini.

“UMPSA turut mempersiapkan mereka untuk kerjaya tetapi juga untuk membentuk mereka menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing,” katanya.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad