Skip to main content

UMPSA bakal jimat sehingga RM600 ribu guna tenaga solar

KUANTAN, 29 November 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini dijangka akan dapat mengurangkan penghasilan karbon dioksida (CO2) di dalam kampusnya di Pekan sebanyak 47 peratus bersamaan penjimatan bil elektrik antara RM400,000 sehingga RM 600,000 setahun bagi pemasangan solar 3.58MWp.

UMPSA sebagai sebuah universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), kini memiliki solar terapung di tasik universiti yang dilengkapi dengan sistem apungan panel solar yang direka untuk bertahan di bawah perubahan cuaca. 

Ini menjadikan platform dan peralatan operasi panel solar ini kekal seimbang di atas permukaan air.

UMPSA terus memperlihatkan komitmennya di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke arah untuk mencapai sasaran negara bebas karbon menerusi Projek Solar Terapung yang dibina di tasik universiti. 

UMPSA hasil kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) telah menjalinkan kerjasama pintar melalui pemasangan solar bumbung bagi meluaskan lagi ciri-ciri kelestarian UMPSA. 

UMPSA bakal jimat sehingga RM600 ribu guna tenaga solar

Pada masa ini, solar terapung tersebut terdiri daripada 240 unit panel solar, 1 unit inverter 125 Amp dan lebih daripada 136 unit pelampung bagi membentuk kawasan seluas 2,574 meter persegi. 

Hadir dalam program penyerahan projek solar itu ialah Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Ketua Sektor Kerajaan Persekutuan, GLB, TNB Retail, Mohd Fadhil Noordin, Pengurus Besar TNB Pahang, Dato’ Haji Baderul Sham Saad, Ketua Pegawai Eksekutif, GSparx, Elmi Fairul Mashuri dan Ketua Pegawai Eksekutif FYF Sdn. Bhd., M. Khairul Shamsul Nizam M. Razali. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA giat menjalankan inisiatif terhadap usaha memupuk kesedaran amalan lestari.

“Antaranya pemasangan solar di universiti ini yang melibatkan tiga kaedah iaitu pemasangan di atas bumbung bangunan, pemasangan di atas pakir kenderaan atau dalam istilah teknikal ialah Building Integrated Photo Voltic (BIPV) dan pemasangan solar di atas permukaan tasik.

“Projek solar ini mempunyai panel solar terapung berkapasiti 159 kWp bagi penjanaan bekalan elektrik yang dijangka mampu menjana sekurang-kurangnya 197,319 kW tenaga per tahun.

“Selain itu, ia juga berpotensi untuk mengimbangi pelepasan 126.1 tan gas CO2 dan menjadikan UMPSA merealisasikan hasrat mencapai sasaran untuk menjadi negara bebas karbon,” ujarnya.

UMPSA bakal jimat sehingga RM600 ribu guna tenaga solar

Katanya, pemasangan solar berkapasiti 3.58MWp di dalam kampus UMPSA Pekan telah dipasang di lapan lokasi iaitu enam lokasi pemasangan solar di atas atap yang melibatkan bangunan Canseleri Tun Abdul Razak, Dewan Serbaguna, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekanikal (FTKPM) dan Fakulti Komputer (FK). 

“Manakala pemasangan secara BIPV pula telah dibuat pada pakir Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan juga pemasangan solar secara terapung. 

“UMPSA akan sentiasa berusaha untuk memperkenalkan teknologi dan amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta yang lebih utama menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip-prinsip kelestarian. 

“Universiti memainkan peranan yang amat penting dalam membudayakan amalan lestari dan tenaga boleh diperbaharui dengan mengambil inisiatif terhadap usaha memupuk kesedaran amalan lestari,” ujarnya. 

Katanya, ini termasuklah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan penggunaan sumber tenaga fosil.

“Antaranya termasuklah penggunaan teknologi pengurusan tenaga yang canggih seperti penyejukan dan pemanasan yang efisien, pemasangan pencahayaan LED yang jimat tenaga serta penggunaan sistem automasi pintar untuk mengawal penggunaan tenaga.

“Melalui langkah-langkah ini juga, UMPSA turut  berperanan sebagai pusat inovasi, penyelidikan, dan pendidikan dalam memupuk amalan lestari dalam kalangan pemegang taruh termasuklah graduan yang dihasilkan,” jelas beliau lagi. 

Dalam pada itu, Mohd Fadhil turut berharap agar jalinan kerjasama antara UMPSA, TNB dan GSPARX ini dapat membuka lebih banyak potensi dan peluang dalam meneroka pelbagai aspek berkaitan tenaga.

Universiti  turut memainkan peranan penting dalam menyediakan graduan yang peka terhadap isu-isu kelestarian dan mempersiapkan generasi masa depan untuk menghadapi cabaran global yang berkaitan dengan tenaga dan alam sekitar.

UMPSA juga turut menerima pengiktirafan Three Diamond bagi Penilaian Karbon Rendah Bangunan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), baru-baru ini yang menjadikan UMPSA membuktikan kemampuan dalam melaksanakan usaha penggunaan tenaga elektrik yang efisien, penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena