Skip to main content

UMPSA dan Futurise lancar Dronecubator Zon Timur

PEKAN, 27 Ogos 2024 – Buat julung kalinya, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Futurise telah melancarkan Dronecubator Zon Timur yang berlangsung di Padang Blok 1, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini. 

Dronecubator adalah sebuah program inkubator olahraga dron yang bertujuan untuk mengembangkan bakat baharu dalam kalangan belia di Malaysia. 

Program ini diuruskan oleh Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON), sebuah perusahaan yang berfokus pada pengembangan industri dron di Malaysia. 

AKSADRON telah diletakkan sepenuhnya di bawah pengendalian Futurise.

Futurise telah membuka program Dronecubator di Universiti Kebangsaan Malaysia (Zon Barat), Universiti Teknologi Malaysia (Zon Selatan) dan Universiti Sains Malaysia (Zon Utara). 

Manakala UMPSA telah dipilih untuk mewakili Zon Timur. 

Bermula dari November 2023 hingga Jun 2024, UMPSA di bawah Rangkaian Penyelidikan Dron yang diketuai oleh Ts. Dr. Mohammad Fadhil Abas telah melatih seramai 50 pelajar dan memilih sepuluh orang daripada mereka sebagai Fasilitator Dron bagi program-program berkaitan. 

Program ini menyediakan latihan dalam kemahiran teknologi sukan dron kepada pelajar yang boleh membantu mereka memperoleh kemahiran baharu dan meningkatkan kebolehan mereka dalam bidang Teknologi. 

Dengan menyertai program ini, pelajar boleh menimba pengalaman dan kemahiran yang boleh meningkatkan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan dalam industri dron yang semakin berkembang di Malaysia. 

Program ini juga boleh membantu pelajar mengembangkan kreativiti mereka dalam menjana idea baharu dan inovatif dalam penggunaan teknologi dron dalam pelbagai bidang.

Dronecubator juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia Madani untuk menyepadukan mobiliti pintar dan data ke dalam bandar pintar untuk pembangunan mampan. 

Oleh itu, peserta juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pembangunan lestari dan alam sekitar.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, jalinan dan kerjasama strategik antara UMPSA dan Futurise ini dapat memantapkam lagi dan mempelbagaikan kemahiran memasang dan mengendalikan dron di Zon Timur.

“Pelaksanaan program seperti ini merupakan salah satu inisiatif tepat yang dilaksanakan oleh UMPSA yang berhasrat untuk menjadi sebuah Kampus Pintar (Smart Campus) menjelang 2025 iaitu seiring dengan saranan kerajaan dalam memperkasakan Agenda Digitalisasi Negara,” ujarnya.

UMPSA dan Futurise lancar Dronecubator Zon Timur

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin juga berharap agar lebih ramai pelajar UMPSA akan berminat dan limpahan manfaatnya akan turut dirasai oleh belia sekitar pantai Timur bagi mereka menyertai serta berkecimpung dalam bidang pengendalian dron ini. 

“Semoga kerjasama dengan Futurise ini tidak terhenti di peringkat ini sahaja malah boleh dirintis kolaborasi baharu seperti penempatan pelajar latihan industri, pertukaran staf dan perkongsian kepakaran serta teknologi,” tambahnya. 

Majlis hari ini menyaksikan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin melakukan gimik pelancaran disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain Baharudin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha. 

Hadir sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Dr. Hamdan Daniyal, Ketua Rangkaian Penyelidikan Dron UMPSA, Ts. Dr. Mohammad Fadhil Abas, ketua-ketua jabatan, dekan-dekan dan delegasi Futurise.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad