UMPSA diiktiraf sebagai Pusat Rujukan QVC perkukuh Agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat Negara
PEKAN, 30 Julai 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju pendidikan tinggi negara apabila menerima kelulusan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Verifikasi Kualiti - Quality Verification Centre (QVC) bagi penilaian verifikasi kualiti Stand-alone Micro-credentials (SAMC) untuk Tahap Sijil (T-3) hingga Ijazah Kedoktoran (T-8).
Kejayaan ini mengiktiraf keupayaan UMPSA dalam memastikan penawaran micro-credentials di Malaysia memenuhi standard jaminan kualiti yang ditetapkan.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pencapaian ini memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai pusat rujukan negara, khususnya di Pantai Timur yang meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan dalam pelaksanaan verifikasi kualiti SAMC serta pembangunan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang lebih fleksibel, inklusif dan berimpak tinggi.
“Peranan ini sejajar dengan hasrat universiti untuk memperluaskan akses pendidikan kepada masyarakat, industri dan agensi kerajaan melalui laluan pembelajaran yang diiktiraf.
“Sebagai Pusat Verifikasi Kualiti, UMPSA bertanggungjawab melaksanakan penilaian dan verifikasi terhadap kursus SAMC yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT), industri serta penyedia latihan yang berkelayakan.
S”elain itu, penilaian ini turut memastikan setiap kursus memenuhi Garis Panduan Amalan Baik (GGP), selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), sebelum didaftarkan dalam Daftar Micro-credential Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” ujarnya.
Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, pengiktirafan ini mencerminkan MQA terhadap kepakaran dan komitmen UMPSA dalam memperkasakan jaminan kualiti pendidikan tinggi serta menyokong agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat negara.
"Kelulusan penuh ini merupakan satu amanah besar kepada UMPSA untuk memastikan setiap kursus micro-credentials yang diverifikasi memenuhi piawaian akademik dan kehendak industri.
Pada masa yang sama, UMPSA akan terus memainkan peranan sebagai hab rujukan QVC di Pantai Timur bagi membantu institusi pendidikan tinggi, agensi dan industri membangunkan penawaran micro-credentials yang berkualiti, relevan serta mendapat pengiktirafan di peringkat nasional," katanya.
Pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak MQA yang memilih UMPSA, dan juga kepada Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas kepercayaan ini.
Beliau berkata, pengiktirafan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara universiti, industri dan agensi kerajaan dalam memperkukuh agenda peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) dan pembelajaran sepanjang hayat.
Program menyasarkan peningkatan bilangan penyedia SAMC yang memperoleh verifikasi melalui QVC UMPSA, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju serta menyokong pelaksanaan dasar KPT dan MQA berkaitan pembelajaran sepanjang hayat.
Melalui QVC UMPSA, penyedia latihan, institusi pengajian tinggi, industri dan agensi kerajaan berpeluang mendapatkan proses verifikasi yang sistematik secara dalam talian bagi memastikan program micro-credentials memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Pada masa ini, UMPSA memberi fokus kepada tujuh bidang utama mengikut National Education Code (NEC), iaitu Pendidikan; Sastera dan Kemanusiaan; Sains Sosial, Kewartawanan dan Maklumat; Perniagaan, Pentadbiran dan Perundangan; Sains Semula Jadi, Matematik dan Statistik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan.
UMPSA merupakan antara empat IPT terawal yang dipilih oleh MQA untuk melaksanakan fungsi QVC sebelum berjaya memenuhi syarat prestasi yang ditetapkan bagi memperoleh kelulusan penuh.
Dengan pengiktirafan ini, UMPSA terus memperkukuh reputasinya sebagai institusi berteraskan teknologi dan kejuruteraan yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan dan penyelidikan, malah menjadi peneraju nasional dalam jaminan kualiti micro-credentials serta pembangunan modal insan yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Selain mempunyai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC), penubuhan Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Mikrokelayakan (FLEXMC) serta Pusat Penilaian Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) di UMPSA turut memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini, khususnya di Pantai Timur yang memainkan peranan sebagai peneraju pendidikan teknikal dan inovasi digital negara.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 29 views
Reports by: