Skip to main content

UMPSA jalin kolaborasi strategik dengan 5 syarikat dan institusi terkemuka

KUALA LUMPUR, 11 Jun 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melangkah lebih jauh dalam memperkukuhkan hubungan dengan industri dan institusi pendidikan melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman/Perjanjian (MoU/MoA) bersama lima syarikat dan institusi terkemuka sempena MTUN Industry-Academia Discourse on Advanced TVET (MIAD) 2024.

MIAD telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mewakili UMPSA, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar turut hadir bersama Naib Canselor, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin

miad

Program turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Menurut Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, kolaborasi ini membuktikan UMPSA mempunyai pensyarah dan bakat penyelidik yang diiktiraf. 

“Usaha ini akan diteruskan dalam menggembleng bakat-bakat di universiti secara strategik bagi memastikan kepakaran teknologi ini dibawa ke lapangan bagi manfaat masyarakat sejagat.

“Sebagai salah satu MTUN, UMPSA berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak produk penyelidikan berasaskan Kejuruteraan dan Teknologi melalui kajian dan penyelidikan berimpak tinggi serta memenuhi kehendak pasaran yang dapat dikomersialkan seiring dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025,” katanya.

Lima syarikat tersebut ialah Eastern Unity Technology Sdn. Bhd. (EUT) yang diwakili pengarahnya, Ali Hassan Abdulrahman Al-Saggaf. 

miad 2

Syarikat ini merupakan sebuah anak syarikat milik Al Watheeq Company daripada United Arab Emirates (UAE).

Pihak EUT telah menandatangani perjanjian penjualan Harta Intelek milik UMPSA iaitu No. Paten. PI2023006909 bertajuk ‘Improved Anaerobic Membrane System for Wastewater Treatment’ hasil penyelidikan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) UMPSA, Profesor Dr. Abdurrahman Hamid Nour. 

Syarikat EUT juga pernah membeli dua paten milik UMPSA pada tahun 2021 iaitu Paten: PI2013701224, MY-169316-A bertajuk ‘Emulsion Fuel’ dan PI2019006769 bertajuk ‘Heavy Emulsion Surfactant’.

Manakala kolaborasi strategik UMPSA dengan Unigenix Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Pengarah Urusan dan Pengasas Unigenix Sdn. Bhd, Ariff Khalid. 

Kerjasama ini melibatkan Pelesenan Paten Milik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) iaitu No. Paten PI 2020003660, bertajuk ‘Plant Nutrients Complex’.

Paten ini hasil inovasi daripada penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) UMPSA, Dr. Noormazlinah Ahmad 

Paten ini merupakan baja cecair yang diformulasi khas bersama prebiotik yang merupakan nutrisi khas mikrob baik kepada tanaman dan ekosistem tanah. 

Baja ini membantu untuk menambah baik kandungan nilai nutrisi dan meningkat penyerapan nutrisi-nutrisi penting oleh keseluruhan bahagian tanaman.

Teknologi ini dibangunkan pada tahun 2018 melalui kajian geran dalam UMPSA iaitu RDU151413 berkaitan prebiotik dan teknologi ini telah difailkan sebagai paten pada 15 Julai 2020.

Manakala Futurise Sdn. Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosihan Zain Baharudin melibatkan kerjasama dengan UMPSA untuk program teknologi dron dalam memacu ekosistem yang dinamik bagi sukan dron dan pembangunan keseluruhan teknologi dron di negara ini. 

Program dimulakan dengan Dronecubator iaitu sebuah program inkubator olahraga dron yang bertujuan untuk mengembangkan bakat baharu dalam kalangan belia di Malaysia.

Turut berlangsung pemeteraian kerjasama UMPSA dengan Harbin Institute of Information Technology (HIIT) yang diwakili oleh Dekan Sekolah Kejuruteraan Perisian HIIT, Gao Lu yang memfokuskan bidang Kejuruteraan Perisian, Sains Komputer dan Computer Network. 

Pada masa ini, seramai lapan orang staf akademik HIIT mengikuti program latihan selama sebulan di Fakulti Komputeran UMPSA. 

Program turut memanfaatkan peluang kolaborasi akademik dan penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar.

Dalam pada itu, kerjasama dengan Beijing Zhongcheng Linuo Technology yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Zhao Kexin melibatkan kerjasama bersama UMPSA Advanced dalam program latihan, akademik, penyelidikan khususnya dalam bidang komputer (prasiswazah dan pascasiswazah).     

Turut bermakna UMPSA bersama universiti MTUN menandatangani MoU bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi pelaksanaan Program Pesisir TVET BORNEO sebagai program kerjasama yang akan membuka peluang kepada anak-anak Sabah khususnya lepasan Kolej Vokasional (KV) untuk mengikuti program Sarjana Muda Teknologi, UMPSA.

Selain itu, UMPSA  turut komited dalam memperluaskan akses penawaran program TVET dengan mewujudkan beberapa kampus pesisir bagi memberikan peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang TVET ke tahap yang optimum.

Kerjasama ini selari dengan seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar pihak MTUN memperkembangkan program TVET ke negeri-negeri di Borneo dan juga merealisasikan hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 yang telah dibangunkan oleh semua universiti di bawah MTUN.   

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris