UMPSA jayakan Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa melalui AR dan VR di Tadika Islam Mutiara Amaliyah Medan
MEDAN, 18 September 2025 – Pusat Pembelajaran Fleksibel & Micro-Credentials (FLEXMC), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya melaksanakan program Khidmat Masyarakat Peringkat Antarabangsa bersama 33 orang pelajar Tadika Islam Mutiara Amaliyah di Medan, Indonesia.
Program itu dijalankan dengan kerjasama strategik Fakultas Ilmu Komputer dan Teknologi Informasi, Universitas Sumatera Utara (USU) yang menjadi rakan kongsi akademik dalam memperkukuh hubungan serantau Malaysia–Indonesia.
Inisiatif ini juga turut memberi tumpuan kepada literasi digital berteraskan Science, Technology, Engineering, Arts & Mathematics (STEAM) dengan penggunaan Virtual Reality (VR) sebagai medium pembelajaran inovatif bagi merangsang perkembangan kognitif dan emosi kanak-kanak.

Pelbagai aktiviti interaktif dijalankan termasuklah pengenalan kepada Augmented Reality (AR) dan VR, eksperimen sains mini, latihan kreativiti melalui robotik, dan simulasi pembelajaran STEAM berkonsepkan ‘belajar sambil bermain’.
Program itu dikendalikan dengan pendekatan mesra kanak-kanak dan dibimbing oleh guru, fasilitator dari Fakultas Ilmu Komputer dan Teknologi Informasi serta pasukan teknikal FLEXMC.
Malah, program ini adalah salah satu agenda penting kolaborasi komuniti antarabangsa di bawah projek geran komuniti FLEXMC, UMPSA dan Universitas Sumatera Utara (USU) iaitu ‘SMART & HAPPY KIDS: Literasi Digital STEAM Berbasis Virtual Reality untuk Stimulasi Kognitif dan Emosi Anak PAUD di Deli Serdang’ yang bermula pada 19 Julai 2025.
Kajian ini telah menghasilkan modul buku Busy Book yang dibangunkan khusus untuk kanak-kanak Tadika Islam PAUD di Deli Serdang sebagai bahan sokongan pembelajaran kreatif dan interaktif.
Menurut Ketua Projek, Profesor Madya Ts Dr Awanis Romli, penglibatan FLEXMC, UMPSA dalam program khidmat masyarakat antarabangsa seperti ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja membuka ruang untuk pemindahan ilmu dan teknologi, malah memperkukuh reputasi UMPSA sebagai institusi yang komited dalam pendidikan fleksibel dan micro-credentials di peringkat global.
Turut hadir Ketua Teknikal FLEXMC, Ts. Dr. Danakorn dan Eksekutif Kanan FLEXMC, Mohd Shahri, Eksekutif Kanan FLEXMC yang memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan serta perkongsian teknologi digital yang diperkenalkan.
Selain itu, program ini juga menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), antaranya, SDG 4: Pendidikan Berkualiti – memperluas akses kepada pembelajaran inovatif sejak peringkat awal kanak-kanak, SDG 9: Industri, Inovasi & Infrastruktur – mempromosikan teknologi digital sebagai alat Pendidikan dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat – mengukuhkan kerjasama serantau melalui jaringan akademik antara UMPSA dan USU.
FLEXMC UMPSA yakin bahawa melalui program dan kajian bersama ini, hubungan dua hala dengan institusi luar negara dapat diperkukuhkan di samping memberikan impak positif kepada komuniti antarabangsa dalam usaha membentuk generasi muda yang celik teknologi dan berdaya saing.
Disediakan Oleh: Mohd Shahri Mohd Akhir, Pusat Pembelajaran Fleksibel & Micro-Credentials (FLEXMC)
- 44 views
Reports by: