Skip to main content

UMPSA kongsi kepakaran teknologi dan penyelidikan pertahanan dengan Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkongsi kepakaran, produk inovasi dan hasil penyelidikan berpotensi dalam bidang pertahanan menerusi Pembentangan Technology Solutions in Defence Sector yang berlangsung di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. 

Sesi yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin itu menjadi platform strategik kepada UMPSA untuk mengetengahkan keupayaan universiti dalam bidang teknologi, kejuruteraan serta penyelidikan dan inovasi yang berpotensi menyokong keperluan sektor pertahanan dan keselamatan negara.

Menurut Dato’ Seri Mohamed Khaled, universiti mempunyai keupayaan besar dalam penyelidikan, teknologi dan inovasi yang perlu dihubungkan dengan keperluan sebenar ATM serta industri pertahanan.

“Kerjasama melalui pemindahan teknologi daripada perolehan luar negara untuk membangunkan prototaip, inovasi dan komponen tempatan yang berpotensi menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

“UMPSA sendiri telah membangunkan teknologi seperti Rocket-Assisted Interceptor Drone (R.A.I.D) bagi memenuhi keperluan pertahanan dan menangani ancaman semasa.

“Keupayaan dalam bidang autonomous dan unmanned system perlu terus diperkukuh bagi memenuhi keperluan operasi semasa dan masa hadapan,” ujarnya. 

UMPSA kongsi kepakaran teknologi dan penyelidikan pertahanan dengan Kementerian Pertahanan

Selain itu katanya, universiti, industri dan sektor pertahanan perlu bergerak seiring untuk membangunkan keupayaan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar negara.

Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, pertemuan ini memberi peluang UMPSA berkongsi mengenai kekuatan ekosistem penyelidikan UMPSA dan kesediaan universiti untuk menggembleng kepakaran penyelidik dalam membangunkan penyelesaian teknologi yang boleh disesuaikan dengan keperluan strategik sektor pertahanan negara. 

“Sebagai sebuah universiti teknikal, UMPSA mempunyai kepakaran penyelidikan merentasi pelbagai disiplin sains, teknologi dan kejuruteraan serta kemudahan penyelidikan yang menyokong pembangunan teknologi dan kerjasama strategik bersama industri serta agensi,” katanya. 

Pertemuan ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara UMPSA dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) khususnya dalam meneroka ruang kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi berimpak tinggi. 

UMPSA kongsi kepakaran teknologi dan penyelidikan pertahanan dengan Kementerian Pertahanan

Dalam pada itu, pertemuan ini juga dapat membuka ruang kepada pemindahan ilmu dan teknologi yang berpotensi mempercepat pembangunan penyelesaian tempatan serta mengoptimumkan kepakaran penyelidik negara ke arah memperkukuh ekosistem teknologi pertahanan yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Hadir sama Penolong Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, Pengarah Kanan, Center for Advanced Mobility & Aerospace , Profesor Dr. Rizalman Mamat dan Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri