UMPSA lancar program Leadership Cafe bangunkan kelompok bakat dan kepimpinan
KUANTAN, 17 Mei 2024 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin merasmikan program UMPSA Leadership Cafe yang merupakan sebuah program kerjasama antara Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan UMPSA.
Program ini merupakan inisiatif berterusan pihak AKEPT dalam usaha meningkatkan hubungan strategik dan sesi engagement bersama universiti awam (UA).
Menurut Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, UMPSA telah berjaya melaksanakan fasa awal pemprofilan kompetensi kepimpinan melibatkan 176 individu dalam kalangan kelompok bakat dengan menggunakan instrumen Behavioural Event Self-Assessment (BESA) yang diperakukan di peringkat AKEPT.
“Malah, laporan penilaian ini juga akan turut disalurkan bagi keperluan pihak AKEPT,” katanya.
“Keseragaman penilaian yang berstruktur ini boleh dijadikan sebagai pengukur atau check and balance bagi menentukan konsistensi dan validasi kepada hasil penilaian yang dijalankan.
“Pembangunan kelompok bakat dan kepimpinan ini dapat menjenamakan UMPSA sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja dijadikan rujukan dalam kecemerlangan akademik malah mampu melahirkan pemimpin kepada agensi lain,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, ia juga membuktikan bahawa konseptual dan instrumen dalam pembentukan bakat serta kepimpinan di UMPSA adalah berdasarkan satu metodologi yang relevan kepada karakter pemimpin yang dinamik yang digambarkan sebagai ‘Leadership by Design’.
“Saya berharap program pada hari ini mampu memberi pencerahan dan inspirasi akan kepentingan segala peranan, tugas serta tanggungjawab yang perlu dilunaskan dalam memenuhi agenda kepimpinan pendidikan tinggi.
“Realiti pada hari, pemimpin dalam institusi pendidikan tinggi mempunyai peranan penting sebagai agen yang menyumbang (contributor) kepada kemajuan nasional dengan keupayaan melaksana (executor) dasar secara inklusif dan pelbagai.
“Pelaksanaan pelan penggantian yang berstruktur dan pengekalan kelompok bakat berasaskan kompetensi dapat diperkukuhkan untuk mempertahankan sumber daya manusia,” katanya.
Ujarnya, adalah amat wajar untuk kita menjaga dan pertahankan bakat yang dimilki agar menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan dan reputasi universiti.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut menyampaikan sijil dan laporan penilaian menyeluruh kepada 176 peserta dan barisan task force.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pendaftar, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim serta barisan pengurusan universiti.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 233 views