UMPSA memperkukuh jejak global melalui Program Mobiliti Staf di National University of Singapore (NUS)
SINGAPURA, 3 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melangkah setapak lagi ke pentas antarabangsa melalui penyertaan Pensyarah Kanan dari Pusat Bahasa Moden (PBM), Dr. Umi Kalsom Masrom yang mengikuti program mobiliti staf selama lima hari bermula 29 September hingga 3 Oktober 2025 di National University of Singapore (NUS).
Program itu diselaraskan dengan kerjasama di antara Pusat Jaringan Global UMPSA dengan Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar UMPSA yang berperanan penting dalam menyelaras aspek sokongan logistik, sumber manusia serta urusan pentadbiran bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.
Program mobiliti staf ini bertujuan untuk memperkukuh kecekapan profesional staf, memperluas rangkaian akademik antarabangsa dan memperoleh pendedahan kepada amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa berinovasi.
Sepanjang lima hari itu, beliau telah ditempatkan di bawah bimbingan Centre for English Language Communication (CELC) dan Centre for Teaching, Learning and Technology (CTLT) iaitu dua pusat akademik unggul di NUS yang terkenal dalam pembangunan kemahiran komunikasi, reka bentuk kursus, dan inovasi pedagogi berasaskan teknologi.
Menurut Dr. Umi Kalsom, beliau telah menyertai beberapa sesi pemerhatian bilik darjah untuk meneliti metodologi pengajaran di NUS.
“Antaranya kelas ES1103 English for Academic Communication yang memfokuskan kepada penulisan esei untuk pelajar Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
“Saya turut meneliti Kursus ES2631 Critique of Engineering Design yang menggunakan Rangka Kerja Penaakulan Kejuruteraan (Engineering Reasoning Framework) dan serta kelas IS2101 Business and Technical Communication yang memberi tumpuan kepada kemahiran pembentangan dan penggunaan AI di dalam penyediaan kertas cadangan.
“Saya juga turut menyertai bengkel Course Design Institute (CDI) anjuran CTLT, satu bengkel yang memberi pendedahan kepada peserta prinsip reka bentuk kursus berkesan seperti backward design dan constructive alignment,” katanya.
Tambahnya, pendekatan ini menekankan kepentingan memetakan hasil pembelajaran kursus (CLO) secara terus dengan aktiviti pengajaran dan kaedah pentaksiran, serta memperkenalkan konsep 'significant learning'.
“Saya turut berpeluang menyampaikan perkongsian bertajuk ‘From Essay to Interviews: Using Digital Innovation to Teach Communication’ yang menonjolkan pendekatan inovatif dalam pengajaran komunikasi akademik menggunakan teknologi digital.
“Antara yang diketengahkan ialah Online Escape Room, satu aktiviti yang menyepadukan elemen gamifikasi dan penyelesaian masalah untuk pengajaran bahasa.
“Pendekatan inovatif ini menarik minat peserta CELC dan CTLT yang turut mencubanya untuk memahami potensinya dalam meningkatkan motivasi dan penglibatan pelajar,” katanya.
Beliau menambah, selain itu, para peserta turut diperkenalkan kepada /spi:x/, iaitu Simulator Temu Duga Kerja berasaskan Virtual Reality (VR).
“Teknologi yang dibangunkan bersama oleh PBM dan Fakulti Komputeran (FK) ini direka untuk melatih pelajar menghadapi temu duga dalam persekitaran maya yang realistik.
“Demonstrasi ini menyerlahkan komitmen UMPSA dalam memanfaatkan teknologi imersif bagi memperkukuh kemahiran komunikasi profesional pelajar.
“Saya turut mendapatkan input bermakna tentang pelaksanaan khidmat komuniti di NUS yang menekankan nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam pendidikan tinggi,” katanya.
Lawatan ini turut membuka peluang bagi penanda aras di Central Library NUS untuk pembangunan Language Hub PBM: Voices@UMPSA, khususnya dalam penerokaan penggunaan Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR) untuk menjadikan pembelajaran bahasa lebih interaktif dan imersif.
Selaras dengan Amanat Naib Canselor UMPSA 2025 di bawah Agenda Transformasi: Anjakan Pertama (Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu), penyertaan ini menzahirkan usaha universiti dalam memperluas penglibatan staf ke program antarabangsa yang berteraskan pembangunan kompetensi, pengalaman lintas budaya serta hubungan strategik dengan institusi global.
Semoga UMPSA kekal komited dalam usaha melahirkan warga akademik yang berdaya saing, berpandangan global, dan bersedia memacu kecemerlangan universiti di pentas antarabangsa.
Disediakan Oleh: Umi Kalsom Masrom, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 27 views
Reports by: