Skip to main content

UMPSA memperkukuh komitmen dalam Fasa Pengukuhan Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA

SHAH ALAM, 23 Mei 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menyokong agenda nasional memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila menyertai Bengkel Pelaporan Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2025–2030 pada 22 dan 23 Mei 2025 di Hotel Concorde, Shah Alam.

Bengkel telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian. 

Dalam ucapannya, beliau menegaskan pentingnya usaha kolaboratif dalam kalangan universiti awam (UA) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu sebagai medium utama ilmu dan penyelidikan di menara gading.

Bengkel itu bertujuan untuk membincangkan pelaksanaan Pelan Strategik Fasa Kedua: Fasa Pengukuhan yang telah bermula pada tahun ini sehingga 2030.

Bengkel yang dianjurkan Seksyen Parlimen, Inovasi dan Pemerkasaan Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu adalah di bawah seliaan Ketua Penolong Setiausaha (KPSU), Che Hazwani Che Mansor. 

UMPSA memperkukuh komitmen dalam Fasa Pengukuhan Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua institusi pengajian tinggi atas pencapaian dan komitmen dalam Fasa Pertama.

“Fasa Pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023 hingga 2025. 

“Kejayaan pelaksanaan awal ini menjadi asas kukuh untuk meneruskan gerak kerja dalam fasa pengukuhan seterusnya,” ujarnya. 

UMPSA diwakili oleh Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM) merangkap ahli jawatankuasa Pemerkasaan Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Hamizah Zahari yang memantau pelaksanaan pelan di PBM UMPSA. 

Beliau hadir mewakili Pegawai Fokal UMPSA merangkap Dekan, PBM dan Pengerusi Majlis Dekan Bahasa Universiti Awam (MALDEC), Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi.

Menurut Hamizah, antara program yang telah dilaksanakan oleh UMPSA dalam Fasa Pembangunan termasuk kerjasama strategik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui penganjuran Bicara Munsyi, aktiviti penulisan kreatif, penerbitan jurnal penyelidikan di dalam bahasa Melayu, pertandingan deklamasi puisi kemerdekaan, serta bengkel dan latihan penulisan bahasa Melayu.

“Untuk makluman semua, pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM), Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu (ATHABM) dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal telah dibuka sehingga 13 Jun 2025.

“Anugerah berprestij ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada ahli akademik daripada universiti awam (UA) dan IPT atas sumbangan besar mereka dalam menjulang bahasa Melayu sebagai medium penyelidikan, penerbitan ilmiah, pengajaran serta khidmat ikhtisas kepada masyarakat, merentasi pelbagai bidang ilmu termasuk Sains Sosial serta Sains dan Teknologi.

“UMPSA turut berbangga apabila menerima penarafan empat bintang dalam pelaksanaan Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA bagi tahun 2024,” katanya. 

Tambah beliau lagi, pencapaian ini menjadi pemangkin semangat UMPSA untuk melaksanakan lebih banyak inisiatif strategik ke arah peningkatan penarafan pada masa akan datang.

Bengkel tersebut telah berjaya menghimpunkan pegawai fokal bahasa Melayu daripada 20 universiti awam (UA), tujuh politeknik dan lima kolej komuniti. 

Disediakan Oleh: Hamizah Zahari, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, Pusat Bahasa Moden (PBM).

Reports by:
Admin UMP News