Skip to main content

UMPSA meterai MoA bersama Volkswagen Group Malaysia Sdn. Bhd.

PEKAN, 12 Jun 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama jenama automotif terkemuka dunia Volkswagen Group Malaysia (VGM) bagi menjalin kerjasama strategik dua hala.

Dalam majlis itu, UMPSA diwakili Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim manakala VGM diwakili Pengarah Urusannya, Dr. Susanne Lehmann dan Pengarah Volkswagen Pekan, Nor Hayati Othman. 

MOA WOLKSWAGEN

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie dalam ucapannya menyifatkan jalinan kerjasama itu sebagai platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan dengan pemain industri bagi memperkasakan pendidikan, penyelidikan dan teknologi, khususnya dalam bidang Automotif dan Elektronik. 

“Menerusi kerjasama ini, VGM akan berkongsi kepakaran, sumber dan pengetahuan dalam teknologi kejuruteraan Jerman yang terkenal di dunia dengan industri pembuatan kereta. 

“Pihak Volkswagen di Pekan juga akan menawarkan penempatan latihan industri kepada pelajar dan MoA ini juga melibatkan seminar, bengkel dan kajian penyelidikan teknologi baharu.

“Sudah tiba masanya untuk UMPSA dan Volkswagen memperbaharui MoA, meneruskan kerjasama MoU sejak tahun 2019 dan MoA pada tahun 2020 dalam program yang memanfaatkan kedua-dua pihak,” ujarnya. 

Kolaborasi itu juga katanya, turut melibatkan pembangunan bakat, latihan staf, pertukaran kepakaran, pengetahuan dan pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan terhadap cabaran global serta peralihan Malaysia ke arah teknologi hijau termasuk kenderaan elektrik (EV). 

“Usaha ini seiring dengan hasrat Malaysia dalam mengambil langkah untuk memanfaatkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) sedia ada dan memastikan saluran bakat yang kukuh untuk menyokong pembangunan industri EV di Malaysia. 

MOA WOLKSWAGEN

“Malahan, lawatan UMPSA baru-baru ini ke Akademi Kumpulan Volkswagen di Wolfsburg juga telah membuka ruang kerjasama baharu bagi UMPSA untuk menawarkan program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada staf,” katanya. 

Dalam majlis ini, Dr. Susanne turut berkongsi kepakaran dan hasrat Volkswagen bagi pengeluaran kenderaan elektrik dan model yang lebih konvensional di Malaysia selain rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport untuk Volkswagen, jenama automotif terbesar dunia. 

Turut sama dalam majlis ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Penasihat Undang-undang, Marlina Mamat.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad