Skip to main content

UMPSA terima Sumbangan Dana Siswa daripada Takaful Malaysia Keluarga Berhad bagi manfaat 420 pelajar asnaf

PEKAN, 21 Mei 2026 – Kelestarian agenda kebajikan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus diperkasa menerusi jalinan kolaborasi strategik bersepadu apabila universiti meraih sumbangan Dana Siswa Di Hatiku berjumlah RM210,000 daripada Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad. 

Sumbangan berpaksikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini disasarkan secara khusus bagi memelihara maslahat dan meringankan beban kewangan seramai 420 pelajar daripada golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah (B40) yang sedang menuntut di UMPSA.

Simbolik penyerahan bantuan bertaraf korporat ini telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Syariah Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Nik Mansor Nik Mahmud dengan disaksikan secara rasmi oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Sesi bermakna ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi universiti termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Penasihat Undang-undang, Marlina Mamat serta Ketua Pustakawan, Kamariah Gono.

Mengulas mengenai sumbangan tersebut, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menzahirkan penghargaan mendalam ke atas komitmen padu yang ditunjukkan oleh sektor industri demi kelangsungan pendidikan tinggi. 

Menurut beliau, agihan dana ini membawa impak signifikan dalam menyuntik kelegaan emosi dan kewangan kepada para penerima untuk fokus terhadap akademik. 

Takaful Malaysia

Beliau turut mengumumkan pengembangan inisiatif selain kebajikan mahasiswa bagi tahun 2026 yang merangkumi pelaksanaan Program Tuisyen Ilmu Di Hatiku Takaful - UMPSA 2026 yang menyasarkan komuniti setempat di Pekan dan Kuantan, khususnya buat pelajar Tingkatan 5. 

Selain itu, universiti kini giat memperkukuh program biasiswa ijazah dual dan memacu kelestarian dana melalui Projek Wakaf UMPSA, sekali gus mempelawa lebih banyak pemain industri lain untuk tampil berkolaborasi.

Berdasarkan data daripada Yayasan UMPSA, sehingga penghujung bulan Mei 2026, UMPSA telah berjaya mengagihkan bantuan kebajikan berjumlah RM374,966.00, yang mana seramai 1,736 pelajar telah diluluskan sebagai penerima manfaat zakat, menyusuli rekod agihan tahun 2025 yang mencecah RM2.2 juta merangkumi bantuan kebajikan pelajar mahasiswa, dermasiswa, biasiswa dan pembangunan mahasiswa.

UMPSA terima Sumbangan Dana Siswa daripada Takaful Malaysia Keluarga Berhad bagi manfaat 420 pelajar asnaf

Sementara itu, Ketua Bahagian Syariah Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Nik Mansor Nik Mahmud dalam ucapan beliau menzahirkan penghargaan atas ruang sinergi yang terbina bersama pihak universiti. 

Beliau turut menegaskan bahawa ibadah zakat merupakan rukun Islam yang amat dituntut, berpasakkan perintah Allah SWT di dalam al-Quran yang menuntut umat-Nya mengambil sebahagian harta demi menyucikan diri dan jiwa.

Tambah beliau lagi, terdapat hikmah yang sangat besar di sebalik pengeluaran zakat di mana ia tidak sesekali mengurangkan kekayaan, sebaliknya menjadi asbab kepada pertambahan dan keberkatan perolehan syarikat. 

Menjelaskan mengenai mekanisme operasi dana tersebut, beliau memaklumkan bahawa Takaful Malaysia membayar zakat korporat kepada majlis agama negeri terlebih dahulu, sebelum memohon semula sebahagian dana tersebut melalui kaedah wakalah untuk diagihkan secara mandiri dan bersasaran.

Beliau juga menitipkan pesanan berharga berasaskan dalil sahih bahawa golongan yang menuntut ilmu dan berpengetahuan tinggi sentiasa diangkat darjatnya lebih mulia di sisi Allah SWT. 

“Memandangkan dana zakat ini dikhususkan hanya untuk lapan golongan (asnaf) yang layak termasuk para pelajar miskin (asnaf fisabilillah), pihak syarikat menaruh harapan murni agar bantuan ini menjadi pelaburan pendidikan yang bermakna bagi melahirkan modal insan berwibawa. 

“Saya mendoakan mudah-mudahan Allah SWT menerima segala amal baik dan pelaburan sosial korporat yang dilaksanakan ini,” ujarnya. 

Majlis tersebut diserikan dengan upacara penyerahan simbolik replika cek bantuan dana dan gimik serahan zakat secara langsung kepada seramai 20 orang pelajar UMPSA yang merupakan sebahagian daripada penerima zakat terpilih, sebelum diteruskan dengan sesi bergambar bersama.

Naib Canselor turut menyampaikan amanat akhir kepada semua penerima manfaat agar sentiasa memelihara rasa kesyukuran, menggunakan amanah dana tersebut dengan penuh cermat, dan menjadikan bantuan ini sebagai pencetus semangat untuk membina masa depan yang jauh lebih gemilang demi agama, bangsa, dan negara.

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri