Skip to main content

UMPSA tuan rumah Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Pantai Timur

GAMBANG, 8 Ogos 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah bagi Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Timur anjuran Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI). 

Program itu berlangsung selama dua hari bermula 7 Ogos dan berakhir pada 8 Ogos 2024.

Seramai 497 orang pelajar sekolah rendah iaitu dari Kelantan (172 orang), Terengganu (198 orang) dan Pahang (127 orang) bertanding bagi merebut kejuaraan seterusnya bakal mewakili Zon Timur ke peringkat kebangsaan nanti.

Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi. 

Ini adalah tahun ketiga pelaksanaan program ini setelah dilancarkan pada tahun 2022.

Penganjuran Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Pantai Timur ini merupakan pelaksanaan zon pertama sebelum pelaksanaan zon di Peringkat Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak. 

Seramai lebih 2,500 orang peserta telah berkumpul bersama-sama dan bersaing di Peringkat Zon Pantai Timur ini bagi melayakkan diri ke peringkat akhir kebangsaan yang akan diadakan pada bulan November 2024 di Putrajaya. 

Pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), dron, pengekodan dan robotik yang dipertandingkan di peringkat negeri dan zon. 

Malaysia Techlympics 2024 menyasarkan sebanyak 1 juta penyertaan daripada seluruh negara.

Matlamat dan objektif utama penganjuran Malaysia Techlympics adalah pembudayaan STI kepada kumpulan sasar melalui pendekatan hands-on dan tidak formal serta melalui kaedah experiential learning dan pertandingan melibatkan pelajar dan belia di semua peringkat umur, jantina dan bangsa.

Dalam majlis yang sama turut berlangsung pelancaran inisiatif program baharu iaitu Program Rehlah Sains yang merupakan program Mini Karnival Minggu Sains Negara yang akan dilaksanakan bagi menyasarkan golongan pelajar di sekolah tahfiz di sekitar Pantai Timur iaitu di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Program yang bakal diadakan pada bulan Oktober dan November ini akan melibatkan tujuh buah sekolah tahfiz dan program ini juga merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memberikan pendedahan STI kepada pelajar tahfiz di samping untuk memupuk minat mereka terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan berinovasi.

Majlis dirasmikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib yang mewakili Menteri Besar Pahang.

UMPSA tuan rumah Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Pantai Timur

Turut hadir Timbalan Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA dan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Mimi Sakinah Abdul Munaim.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad