Skip to main content

Warga UMP semat semangat patriotisme dalam jiwa

Pekan, 10 September 2020 – Hari Kebangsaan 31 Ogos merupakan tarikh keramat paling dinantikan bagi menyemat semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. 

Walaupun tarikh keramat 31 Ogos telah lebih seminggu berlalu dan lebih enam dekad kita merdeka, sambutan itu terus dirai dengan sambutan yang cukup sederhana dengan pelbagai keunikan mencerminkan jati diri Malaysia. Apatah lagi menjelangnya Hari Malaysia yang bakal dirai pada 16 September nanti.

‘Malaysia Prihatin’ dipilih menjadi tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Namun, setinggi manakah nilai Malaysia Prihatin dan semangat patriotisme itu disemat khususnya generasi muda zaman ini?

Isu-isu yang berkaitan dengan semangat patriotisme kerap menjadi bahan perbincangan segenap lapisan masyarakat.

Hal ini kerana semangat patriotisme amat penting dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk. 

Tinjauan sidang editorial e-Pekan Review hari ini adalah bagi merungkai pandangan dan juga hasrat anak merdeka dewasa ini terhadap tema ‘Malaysia Prihatin’ dan juga semangat patriotisme.

Warga UMP semat semangat patriotisme dalam jiwa
Nadira Hana Ab Hamid,

Nadira Hana Ab Hamid, Eksekutif, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), 39, berkata ‘prihatin’ ini bukan sahaja daripada aspek kita menjaga kesihatan, keselamatan diri dan masyarakat daripada ancaman Covid-19. 

“Malah, prihatin terhadap ancaman ini boleh dilihat daripada sudut pandangan yang berbeza, lebih luas dan menyeluruh seperti prihatinkah kita terhadap anasir-anasir luar yang cuba mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara, prihatinkah kita terhadap hala tuju anak-anak muda, bakal pemimpin dan pewaris kemerdekaan?

Jelas beliau lagi, kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi pada hari ini tidak datang bergolek, tidak dicapai dengan hanya mengucapkan permintaan, tidak diperoleh dengan semudahnya menuturkan kata-kata. 

“Kemerdekaan ini dicapai hasil jerih perih, susah payah, tangis keringat generasi terdahulu. 

“Kemerdekaan dan kebebasan yang diperjuangkan bukan untuk diri sendiri, namun lebih kepada rasa cinta dan sayang terhadap tanah air, rasa tanggungjawab kepada anak cucu di kemudian hari. 

“Generasi pada masa kini sudah jauh hanyut dibawa arus kemodenan. Budaya-budaya luar dengan mudahnya dibawa masuk dan diterima menjadi kebiasaan. 

“Budaya yang mengusir secara halus jati diri anak bangsa, umpama api dalam sekam. 

“Seharusnya jiwa anak-anak muda ini dipenuhi dengan rasa kasih dan cinta terhadap tanah air,” katanya. 

Manakala menurut Eksekutif Kanan, Pusat Kualiti dan Pematuhan Akademik (PKPA), Lily Azwati Ab Latip, 43, semangat patriotisme ini perlu disemai, dipupuk dan diamalkan sejak usia kecil lagi.

Lily Azwati Ab Latip
Lily Azwati Ab Latip

“Semangat patriotisme ini juga dapat memupuk perpaduan kaum dan secara tidak langsung mampu membentuk rakyat yang lebih mementingkan negara daripada kepentingan kaum.

“Saya juga yakin yang generasi muda yang mempunyai semangat ini tidak akan sekali-kali melibatkan diri dengan perkara negatif seperti vandalisme, dadah dan gejala sosial.

“Saya percaya pewaris-pewaris muda berjiwa patriotisme ini akan memimpin Malaysia ke persada dunia dengan kompetetif, mampan dan berdaya saing,” katanya. 

Anuar Abdul Aziz, Penerbit Rancangan, Pejabat SUARA UMP, 45 pula berharap agar aktiviti-aktiviti yang membakar semangat patriotisme perlu dipergiat melibatkan golongan muda. 

Anuar Abdul Aziz
Anuar Abdul Aziz

“Kerajaan perlu mewujudkan satu program wajib kepada golongan muda khusus yang berkaitan dengan kenegaraan, patriotisme dan kebudayaan. 

“Tiga elemen ini semakin menipis dalam kalangan mereka. Generasi muda kini ramai yang tidak memahami apa itu perjuangan, mereka hanya mendengar perkataan itu sahaja tetapi rohnya tidak dirasai.

“Nilai patriotik yang menipis itu perlu dikembalikan sama ada melalui pujukan mahupun paksaan. siapa lagi yang akan mewarisi apa yang orang terdahlu tinggalkan? Mereka perlu dipersiapkan untuk mewarisi apa yang telah diperjuangkan,” ujar beliau.

Ratna Wilis Haryati Mustapa, Pembantu Pustakawan Kanan, Perpustakaan UMP, 51, pula berharap agar setiap individu menghormati dan menjiwai prinsip Rukun Negara Malaysia dan diamalkan dalam hidup kita bersama keluarga serta masyarakat. 

Ratna Wilis Haryati Mustapa
Ratna Wilis Haryati Mustapa

“Jika kita memahami dan mengamalkannya, kita akan faham sebagai rakyat Malaysia, mengapa kita perlu menghormati dan melindungi tanah air kita. 

“Nilai patriotsime bukan sekadar megibarkan bendera atau menyanyikan lagu patriotik. Ia perlu dizahirkan melalui tindakan. 
“Terdapat juga dalam kalangan generasi muda ini yang menjadi sukarelawan dengan membantu mereka yang memerlukan pertolongan, membantu pekerja barisan hadapan melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau menjaga dan memberi makan haiwan-haiwan yang terbiar dan pelbagai lagi tugas-tugas sukarelawan yang di barisan belakang.  

“Mereka ini amat prihatin, faham dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang rakyat Malaysia. Inilah nilai patriotisme sebenar yang ada dalam diri mereka. 

“Generasi muda dari setiap bangsa ini juga yang akan sama-sama membina peradaban bangsa rakyat Malaysia,” katanya. 

Pada masa yang sama, Ratna berpendapat bahawa tema ‘Malaysia Prihatin’ bertepatan dengan situasi pandemik Covid1-19. 

“Segala usaha dan bantuan yang diberikan kepada rakyat sekarang jelas menggambarkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam membantu rakyatnya. 

“Segala keputusan dan setiap jenis bantuan yang diberikan mengambil kira pandangan dan keluhan rakyat. 

“Setiap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta industri besar mahupun kecil mendapat bantuan mengikut pelan pemulihan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia,” katanya. 
 

Twong Weng Fung
Twong Weng Fung

Twong Weng Fung, 21, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Kepujian) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) pula berpendapat bahawa tema ‘Malaysia Prihatin’ bermaksud negara kita mengambil inisiatif untuk menjaga kebajikan rakyatnya dalam usaha untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan. 

“Tema ini amat berkaitan dengan situasi pandemik Covid-19 yang menunjukkan rakyat malaysia bekerjasama untuk membanteras penyakit ini.

“Saya berpendapat generasi muda zaman ini mungkin tidak menghargai ataupun tidak mengutamakan sikap patriotisme disebabkan suasana negara sekarang yang stabil dan harmoni.

“Mereka tidak mempunyai pengalaman yang dapat merasa kepentingan nilai patriotisme supaya dapat membina negara yang aman dan maju.

Pushparani Chadayam, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Bioteknologi Industri dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST) turut mengakui bahawa nilai patriotisme semakin berkurangan dalam generasi muda zaman ini.

Pushparani Chadayam
Pushparani Chadayam

“Ini kerana generasi muda tidak menghayati erti kemerdekaan sebenar dan perkara ini perlu diperhalusi segera bermula dari peringkat sekolah dengan menerapkan nilai patriotisme dan erti kemerdekaan. 

“Sejarah kemerdekaan akan disampaikan turun-temurun dan nilai patriotisme ini seterusnya membentuk generasi yang berhemah tinggi and berakhlak mulia

“Tema ‘Malaysia Prihatin’ juga merujuk kepada rakyat Malaysia yang tidak mengira bangsa dan agama sebagai barisan hadapan dalam aspek keselamatan dan kesihatan bagi memerangi pandemik covid-19 dengan menerapkan nilai kerjasama dan bertanggungjawab dalam menjaga diri sendiri dan masyarakat dengan pihak konsep kita jaga kita.

“Manakala ‘prihatin’ adalah inisiatif pihak kerajaan kepada rakyat dari segi aspek ekonomi dan kebajikan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya. 

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pejabat SUARA UMP

Reports by:
Safriza binti Baharuddin