Yayasan UMPSA agih sumbangan ‘Back To School’ buat anak staf berkeperluan
Paya Besar, 28 Februari 2024- Seramai 100 anak-anak staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima sumbangan keperluan persekolahan daripada pihak Yayasan UMPSA atas keprihatinan universiti dalam meringankan perbelanjaan persekolahan anak-anak dalam kalangan staf yang berkeperluan.
Kelengkapan sekolah ini terdiri daripada pakaian sekolah, stoking, kasut, beg sekolah serta alat tulis buat anak-anak yang akan melangkah ke alam persekolahan bagi Sesi Mac 2024/2025 tidak lama lagi.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA hadir menyampaikan sumbangan dan menyantuni anak-anak dan staf UMPSA.
Ujarnya, melalui program ini, pihak universiti berharap ia dapat menjadi motivasi untuk anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan semangat baharu.
“Kita mahu berkongsi apa yang kita ada dengan golongan memerlukan, lebih-lebih lagi meringankan beban keluarga setiap kali sesi baharu persekolahan bermula, sudah pasti banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan, terutama pembelian kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut sekolah dan sebagainya,” katanya.
Pihaknya berhasrat untuk menambah bilangan penerima manfaat pada masa akan datang agar lebih ramai dapat dibantu.
Bagi salah seorang penerima, Rohaiza Ms Rasdi yang merupakan Pembantu Tadbir di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam melahirkan rasa gembira apabila terpilih menerima sumbangan pakaian sekolah untuk anak sulungnya yang berusia 7 tahun yang bakal menjejakkan kaki di alam persekolahan di Tahun 1 di SK Gambang bagi memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.
Begitu juga bagi ibu kepada tiga orang cahaya mata ini menyifatkan program ini tepat pada masanya tatkala keresahan bagi sesetengah golongan staf dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak. Tambahan pula bulan Ramadan dan Aidilfitri bakal menjelang juga turut memerlukan perbelanjaan.
Sementara itu, Pengawal Keselamatan, Iskandar Abdul Rahman melahirkan perasaan bersyukur dengan sumbangan Yayasan UMPSA ini.
“Pada tahun ini empat daripada lima anaknya akan bersekolah. Kos kelengkapan sekolah yang tinggi sememangnya membebankan bagi saya. Namun Alhamdulillah, sumbangan Yayasan UMPSA ini dapat meringankan beban yang ditanggung.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan universiti yang prihatin dengan warganya. katanya,” ujarnya.
Program anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Jabatan Pendaftar dan Yayasan UMPSA turut dibantu 10 sukarelawan UMPSA Kilau dalam program yang berlangsung di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan dan Blok W UMPSA Gambang.
Hadir sama Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abd Wahit dan Eksekutif Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Pendaftar, Abd Rahman Ahmad.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 101 views