Skip to main content

12 pelajar antarabangsa teruja masuk UMPSA, program Mentor Antarabangsa bimbing pelajar baharu

PEKAN, 14 Oktober 2025 – Program Mentor Pelajar Antarabangsa, iaitu setiap pelajar baharu dipadankan dengan pelajar tempatan atau pelajar antarabangsa berpengalaman sebagai rakan bimbingan mendapat pujian buat pelajar antarabangsa yang mendaftar baru-baru ini.
 
Pelajar antarabangsa, Zakaria Hassan Adow dari Kenya yang mengikuti pengajian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) menyifatkan inisiatif ini akan membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan lebih mudah dan cepat di persekitaran universiti. 
 
 “Program Meet & Greet juga sangat menarik dan bermanfaat kerana membantu pelajar antarabangsa baharu mengenali antara satu sama lain serta memahami suasana universiti,” katanya.

Program ini sebagai platform interaktif yang memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk berhubung, berkongsi pengalaman serta mengenali pihak pengurusan universiti dengan lebih dekat.
 
Beliau merupakan salah seorang pelajar baharu daripada lima negara iaitu 12 orang dari Yaman, dua dari China, seorang dari Kenya, seorang dari Somalia dan seorang dari Indonesia yang baharu mendaftar masuk bagi sesi akademik 2025/2026.
 
Menurutnya, universiti juga perlu menyediakan kemudahan pengangkutan khas ke klinik pemeriksaan kesihatan dan beliau turut berkongsi beberapa pandangan dan cadangan penambahbaikan hasil pengalamannya sebagai pelajar antarabangsa baharu. 

"Antaranya, komunikasi yang lebih responsif berkaitan tempahan asrama dan penambahbaikan variasi menu di kafeteria agar lebih pelbagai dan mesra budaya,” ujar beliau.
 
Manakala bagi pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dari Somalia, Yusuf Mukhtar, beliau melahirkan rasa teruja dengan layanan dan sokongan para petugas dan  penganjuran Program Meet and Greet sangat membantu memandangkan ini pengalaman baharu buat mereka.
 
“Saya amat menghargai layanan serta sokongan daripada warga UMPSA. 

“Suasana di sini sangat positif dan memberi galakan kepada pelajar baharu,” katanya yang tidak menyangka dapat bertemu dengan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dalam program Meet & Greet for International Students yang diadakan di UMPSA Pekan baru-baru ini.
 
Dalam pada itu, Profesor Dr. Yatimah menzahirkan rasa gembira atas pemilihan UMPSA sebagai destinasi pengajian dan berharap agar mereka dapat menyesuaikan diri serta mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

12 pelajar antarabangsa teruja masuk UMPSA, program Mentor Antarabangsa bimbing pelajar baharu

“Selamat datang ke UMPSA dan terima kasih kerana memilih universiti ini sebagai destinasi pengajian. 

“Saya berharap semua pelajar antarabangsa dapat menimba ilmu dan pengalaman yang bermakna sepanjang berada di sini,” katanya.
 
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, dan Pengarah Pusat Senat, Nor Ashikin Sulaiman.
 
Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) melalui Pusat Perkhidmatan Pelajar itu bertujuan meraikan kehadiran pelajar antarabangsa baharu serta memperkenalkan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh universiti.
 
Para pelajar telah diberi taklimat berkaitan aspek kebajikan, kesihatan, fasiliti, kewangan dan akademik oleh wakil pusat tanggungjawab (PTJ) termasuk Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Norhilda Abdul Karim dan Pegawai Tadbir, Pusat Perkhidmatan Pelajar, JHEPA, Nur Luqman Hakim Zaidi.
 
Menariknya, pelajar turut berpeluang menyertai aktiviti interaktif Kahoot! berkaitan Pahang dan Malaysia, diikuti aktiviti luar seperti berkayak dan riadah santai di Akademi A.D.A.B UMPSA pada sebelah petang bagi mengeratkan hubungan serta membina semangat kekitaan dalam kalangan peserta.
 
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri