Pelajar mobiliti antarabangsa UMPSA raikan hubungan baik
KUANTAN, 20 Januari 2024 – Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Majlis Perpisahan Pelajar Mobiliti Semester 1 bagi tahun 2024/2025 di Adena Beach Resort dengan penuh kemeriahan.
Ia bertujuan untuk meraikan kejayaan dan persahabatan yang terjalin sepanjang pengajian para pelajar mobiliti antarabangsa di Malaysia.
Program itu juga turut menyaksikan penghargaan diberikan kepada pelajar daripada pelbagai negara, termasuk Pakistan, India, Kazakhstan, Indonesia, Yaman, Jerman, dan China dalam suasana yang ceria dengan tema ‘Hawaii’ yang menyerlahkan elemen santai dan penuh warna-warni.
Pengarah PuHA, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, dalam ucapannya menekankan akan kepentingan hubungan antarabangsa dan menggalakkan pelajar untuk membawa nilai-nilai yang dipelajari di Malaysia ke negara asal mereka.
“Program mobiliti ini bukan sekadar pengajian tetapi juga sebagai peluang untuk membina hubungan yang melangkaui sempadan dan memupuk perpaduan global,” ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan aktiviti explorace di tepi pantai iaitu para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyelesaikan cabaran permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, colek lidi, dam haji, ceper, dan boling kelapa.
Aktiviti itu bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut memperkenalkan budaya Malaysia kepada pelajar antarabangsa.
Menurut salah seorang pelajar dari Pakistan, Muhammad Talha Nasim, pengalaman ini sangat berharga.
“Saya bukan sahaja belajar tentang budaya Malaysia, tetapi juga membina hubungan persahabatan yang sangat istimewa,” katanya.
Program ini diadakan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar dan mengabadikan perjalanan luar biasa mereka sepanjang berada di UMPSA.
Sebagai tanda penghargaan, turut menyaksikan penyampaian sijil dan cenderamata eksklusif Tenun Pahang Diraja, simbol kebanggaan negeri Pahang, persembahan istimewa daripada staf dan pelajar mobiliti, serta jamuan yang menyajikan pelbagai hidangan tempatan Malaysia kepada pelajar yang telah berjaya menamatkan pertukaran semester mobiliti mereka.
Selain itu, salah seorang pelajar dari Yaman, Asadaldin Ahmed Yahya Abdullah yang merupakan wakil Universitas Islam Indonesia turut mengambil peluang untuk berkongsi pengalaman dan kenangan manisnya mengenai perbezaan budaya antara negara semasa sesi perkongsian.
“Momen ini mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian perbezaan budaya antara negara Malaysia dan Indonesia walaupun saya berasal dari Yaman,” ujarnya.
Para pelajar mengungkapkan rasa syukur dan kegembiraan atas pengalaman bermakna sepanjang program ini.
Majlis perpisahan menjadi bukti nyata bahawa perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian mampu membina generasi pemimpin global yang lebih harmoni.
Walaupun hanya tinggal seketika di Malaysia, khususnya di UMPSA, program mobiliti ini telah meninggalkan kesan mendalam yang tidak dapat dilupakan di hati para pelajar.
Perpisahan mereka dengan rakan-rakan baharu diiringi dengan air mata, tanda eratnya ikatan yang terjalin sepanjang program.
Meskipun berasal dari benua dan latar belakang budaya yang berbeza, mereka berjaya membentuk hubungan yang kukuh dan bermakna.
Diharapkan bahawa pengalaman mereka di UMPSA akan kekal sebagai babak istimewa dan penuh kenangan manis dalam perjalanan hidup mereka.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA)
- 104 views